- nabalunews
Penipuan pelaburan : 100 kertas siasatan, RM43.2 juta kerugian direkodkan tahun ini
11 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 100 kertas siasatan penipuan pelaburan syarikat yang membabitkan kerugian lebih RM22 juta pada 2022.
Jumlah itu semakin meningkat kepada
192 kertas siasatan dengan kerugian RM69.5 juta pada 2023 dan 100 kertas siasatan dengan kerugian RM43.2 juta tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pembabitan syarikat sebagai suspek termasuk menggunakan keldai akaun syarikat bagi kes penipuan pelaburan menunjukkan trend peningkatan, sejak dua tahun lalu.
Katanya sebanyak 372 nama syarikat didaftarkan dalam portal SemakMule sehingga 31 Julai lalu.
Beliau berkata penipuan pelaburan berlaku apabila mangsa terpengaruh melalui penerangan atau taklimat
secara bersemuka atau secara dalam talian di pejabat syarikat atau hotel.
Mangsa juga terpengaruh dengan kenalan atau ahli keluarga yang menerima pulangan pelaburan peringkat awal.
“Bagi penipuan pelaburan dalam talian, mangsa selalunya terpedaya iklan di media sosial. Ramai mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan sosial terpengaruh dengan hantaran ‘scammer’ yang turut menyamar sebagai pelabur kononnya sebagai testimoni yang berjaya mendapat pulangan lumayan.
“Ada juga yang memberi tip pelaburan betul pada peringkat awalnya dan selepas tempoh sekurangnya sebulan ‘admin’ kumpulan atau ‘guru pelaburan’ berkenaan akan memperkenalkan peluang pelaburan baharu atau menggunakan nama syarikat yang akan disenaraikan dalam saham pra-tawaran awam permulaan (IPO) untuk mangsa membuat bayaran pelaburan ke akaun keldai syarikat.
“Majoriti mangsa tidak akan sedar ditipu sehinggalah mereka ingin membuat pengeluaran pelaburan yang mana selalunya ‘scammers’ akan meminta mangsa membuat lagi bayaran mengikut peratusan pengeluaran ingin dibuat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Datuk Seri Ramli berkata, sebanyak 3,293 kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian RM405.1 juta direkodkan pihaknya tahun ini setakat 31 Julai berbanding 5,554 kes dengan kerugian RM475.4 juta (2023) dan 3,294 kes dengan kerugian RM217.9 juta (2022).
Katanya, Selangor merekodkan kes tertinggi iaitu 709 kes membabitkan kerugian RM115.5 juta diikuti Kuala Lumpur (455 kes, RM85.2 juta); Johor (368 kes, RM31.3 juta); Pulau Pinang (241 kes, RM42.9 juta); dan Perak (235 kes, RM32.0 juta).
Comments