Penjara baharu Lahad Datu mula beroperasi Okt ini

30 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
LAHAD DATU: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjara baharu di daerah ini yang boleh menampung 1,000 banduan akan mula beroperasi pada 1 Oktober ini.
Beliau berkata, penjara tersebut akan mengatasi kesesakan banduan di Penjara Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, serta memberikan keselesaan dan keadaan kondusif kepada penghuni.
"Kapasiti 1,000 tambahan ini sangat membantu melegakan buat Jabatan Penjara kerana kesesakan akan datang masalah seperti jangkitan penyakit dan keadaan tidak kondusif memberikan tekanan kepada penghuni, yang boleh berakhir dengan kejadian bunuh diri, cubaan melarikan diri atau pergaduhan," katanya selepas menyaksikan penyerahan Penjara Lahad Datu daripada Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang memberitahu penjara tersebut berjaya disiapkan dengan kos RM176 juta berbanding RM200 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Saifuddin berkata, penjara tersebut akan memulakan operasi dengan tempoh percubaan selama sebulan melibatkan 100 banduan dan akan ditingkatkan kepada 450 banduan selepas itu, sebelum beroperasi dengan kapasiti penuh dijadual Januari tahun depan.
Beliau juga menyatakan bahawa kementeriannya melalui Jabatan Penjara melaksanakan beberapa cara lain untuk mengatasi kesesakan penghuni penjara, iaitu melalui perintah parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Alexander memberitahu bahawa kementeriannya berharap baki daripada 35 pakej kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dimulakan secepat mungkin setelah lantikan kontraktor diselesaikan pada penghujung tahun ini.
"Kami nak percepatkan pembinaan Pan Borneo Sabah ini yang masih banyak lagi pakej belum bermula," katanya.
Comments