Penjawat awam diingat tidak terlibat aktiviti politik
- nabalunews
- Jul 24, 2025
- 2 min read

24 Julai 2025
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengingatkan penjawat awam supaya tidak terlibat dalam aktiviti politik seperti mana termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Dalam surat pekeliling bertarikh 23 Julai 2025, beliau berkata pegawai awam hendaklah mengekalkan kedudukan berkecuali dalam mana-mana parti politik termasuk memakai lambang, memegang jawatan politik atau menjalankan kempen, kecuali dengan kebenaran dalam kes tertentu.
"Perkhidmatan awam sepatutnya bersifat profesional, adil dan tidak berpihak selaras dengan prinsip berkecuali dan kesaksamaan untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam menjadi tulang belakang dalam pentadbiran negara," katanya.
Sehubungan itu, penjawat awam diingatkan sebarang pelanggaran terhadap tatakelakuan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Menurutnya, pegawai didapati terbabit boleh dikenakan hukuman amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Selain larangan dalam aktiviti politik, surat itu turut menuntut penjawat awam supaya menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan kepada Malaysia sebagai negara berdaulat serta kepada kerajaan.
Penjawat awam juga dituntut untuk menjalankan tugas dengan jujur, cekap dan bertanggungjawab, mematuhi arahan serta mengelakkan sebarang salah laku termasuk penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan dan tindakan yang boleh mencemarkan imej perkhidmatan awam.
“Semua pegawai awam telah menandatangani Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.
"Aku janji ini adalah satu komitmen bertulis oleh pegawai awam untuk mematuhi peraturan dan arahan kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka," katanya.
Surat itu turut menggariskan larangan kepada penjawat awam untuk membuat kenyataan tanpa kebenaran seperti menyebarkan maklumat palsu, berunsur fitnah, provokasi atau tidak disahkan kebenarannya, menerbitkan artikel atau menyebarkan maklumat secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.
Larangan itu termasuk hal berkaitan dengan dasar kerajaan, maklumat dalaman jabatan atau isu boleh menimbulkan keraguan atau persepsi negatif terhadap kewibawaan perkhidmatan awam.
Menurutnya, sebarang kenyataan awam yang positif hanya boleh dibuat dengan kebenaran bertulis daripada Menteri.















Comments