Penjawat Awam terima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 pada 17 April
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Penjawat Awam terima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 pada 17 April


24 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 akan dibayar kepada penjawat awam yang layak pada 17 April ini.


Penjawat awam gred 56 ke bawah yang masih berkhidmat sehingga tarikh tersebut termasuk yang dilantik secara kontrak akan menerima sebanyak RM700.


Manakala, pesara perkhidmatan awam akan mendapat BKKA sebanyak RM350.


Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zulkapli Mohamed, BKKA tahun ini juga meliputi pesara kerajaan berpencen, penerima pencen terbitan, pesaran Skim Kumpulan Simpanan Pekerja, veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.


“Bagi pesara dan veteran yang dilantik semula secara lantikan tetap, sementara dan masih berkhidmat pada 17 April 2023 layak menerima RM700,” katanya dalam kenyataan.


BKKA merupakan bantuan hari raya sebagai penghargaan kepada jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam memberi perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2023 Februari lalu, berkata BKKA adalah salah satu langkah kerajaan untuk membantu penjawat awam merancang dan bersedia awal untuk menyambut Hari Raya.

bottom of page