top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Penularan Covid cetus kesedaran penduduk Mukim Lasou hadiri Program Vaksinasi



26 Julai 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA BELUD: Ratusan penduduk kampung Mukim Lasou dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan suntikan vaksin pada Program Outreach Imunisasi Covid-19 menerusi Task Force Imunisasi Covid-19 (CITF), di Dewan Lasau Minunsud, di sini, kelmarin.


Peningkatan kes baharu dan kluster baharu di Sabah termasuk pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa buah kampung kawasan Kadamaian sebelum ini memberi kesedaran kepada ramai penduduk kampung menghadiri program itu untuk mendapatkan suntikan vaksin.


Simpul

Seorang penerima golongan warga emas Simpul Pandi, 76, dari Kampung Lasau Lama berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan program seumpama itu di Mukim Lasau.


“Ini memudahkan penduduk kampung mendapatkan suntikan vaksin terutamanya warga emas seperti kami dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan untuk mendapatkan suntikan vaksin di pekan,” katanya ketika ditemui Nabalu News semasa program itu, kelmarin.


Sementara itu, seorang lagi warga emas dari Kampung Lasau Minunsud, Setiam Bungkal, 75, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk hadir lebih awal di dewan itu selepas mengetahui ada program vaksinasi.


Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui kebaikan dan kepentingan menerima suntikan vaksin Covid-19, Setiam berkata: “Apa yang saya dengar melalui radio, ini (suntikan vaksin) baik untuk mengawal penularan penyakit Covid-19”.


Setiam

“Saya sudah tua, antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti jadi saya tidak melepaskan peluang mendapatkan suntikan vaksin.


"Lagipun ada beberapa kampung di Kadamaian dikenakan PKPD sebelum ini dan ia merisaukan saya,” katanya.


Azila Sembuil, 26, dari Kampung Minunsud berkata, dia sudah mendaftar melalui MySejahtera sejak Februari lalu tetapi sehingga kini belum menerima panggilan untuk vaksinasi.


"Sebab itu saya tidak melepaskan peluang untuk hadir pada program ini," katanya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua petugas atas usaha menjayakan program ini.


Katanya lagi, program ini dapat memudakan penduduk kampung menerima vaksin.


"Tiada alasan tiada kenderaan bagi mereka menerima suntikan vaksin sebab para petugas sendiri datang di sini.


Azila

“Apabila lebih ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit Covid-19 yang lebih teruk.


“Secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan berisiko tinggi termasuk mereka yang tidak layak menerima vaksinasi.


"Terima kasih juga kepada Datuk Ewon atas keprihatinan memberikan sumbangan makanan kepada para penerima vaksin,” katanya.


Pada program itu seramai 600 individu kampung itu dan sekitarnya menerima suntikan vaksin dos pertama.


Semasa meninjau pelaksanaan program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan 550 pek makanan kepada para petugas dan penerima vaksin.


Ewon ketika meninjau perjalanan program itu.

Beliau juga bersetuju menyumbang dua buah konopi untuk digunakan semasa pemberian dos kedua di dewan itu yang dijadualkan pada 15 Ogos nanti.


“Saya difahamkan, program yang sama akan dilaksanakan di Kampung Sayap, Kampung Kiau dan Kampung Kaung dalam DUN Kadamaian,” katanya.


Comments


bottom of page