top of page
Wartawan Nabalu News

Penulis disaran hasilkan novel Kadazandusun lebih berkualiti



21 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Para penulis Kadazandusun disaran supaya menghasilkan lebih banyak buku bacaan atau novel Kadazandusun yang lebih berkualiti untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kadazandusun (BKD) di sekolah.


Penasihat Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) Tan Sri Bernard Dompok berkata, bagi menghasilkan novel yang lebih berkualiti, para penulis boleh menerapkan amalan 4P -Practice, Patience, Persistence dan Perseverance.


Beliau berharap melalui penulisan novel Bahasa Kadazandusun dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada semua untuk terus memartabatkan budaya masyarakat itu.


“Pertandingan seumpama ini dapat membantu melestarikan budaya kita terutamanya bahasa ibunda yang menjadi penanda identiti budaya etnik kita.


“Penulisan dan penerbitan yang berkualiti adalah antara cara untuk mengekalkan bahasa dan warisan kita. Pada masa yang sama, usaha memupuk amalan suka membaca dalam kalangan masyarakat Kadazandusun terutamanya golongan belia dan anak muda perlu dipertingkatkan bagi menambah pengetahuan mereka," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Menulis Novel Kadazandusun kali ke-4 anjuran KLF, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook KLF, sebentar tadi.


Dompok berkata, selepas tertangguh beberapa kali ekoran Covid-19 melanda negara ini, penyampaian hadiah diadakan secara maya sempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa.


Katanya, pertandingan ini dianjurkan sejak 2012 bagi menambah koleksi bahan bacaan Kadazandusun seterusnya menyokong pengajaran dan pembelajaran bahasa Kadazandusun di sekolah.


“Apa yang kita lihat pada hari ini amat membanggakan, bak kata pepatah 'Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah'. Nung okon ko izotokou, iisai po vagu, nung okon ko baino, songian dii vagu? (kalau bukan kita, siapa lagi, kalau bukan sekarang, bila lagi?).


“Saya gembira melihat peningkatan jumlah penyertaan penulis Kadazandusun kali ini daripada 13 penyertaan kepada 24 penyertaan kali ini.


“Saya juga gembira dan bangga kerana terdapat 10 penulis baharu dalam pertandingan ini. Saya berharap penyertaan mereka akan menggalakkan lebih ramai penulis Kadazandusun menyertai pertandingan ini pada masa akan datang,” katanya.


Dompok berharap penambahan jumlah hadiah kali ini dapat meningkatkan semangat para penulis Kadazandusun menghasilkan lebih banyak novel Kadazandusun yang lebih berkualiti.


“Bagaimanapun bagi saya, hadiah bukan faktor utama untuk menyertainya, apa yang penting ialah semangat peserta dan sikap mencintai budaya masyarakat sendiri,” katanya.


Beliau juga gembira kerana terdapat peningkatan dalam pelestarian Bahasa Kadazandusun.


“Ia sememangnya satu pencapaian positif dalam perkembagan bahasa Kadazandusun,” katanya.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr.Mistirine Radin, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran Datuk Dr.Hajah Rosmawati Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif KLF Rita Lasimbang dan Ketua Unit Bahasa Etnik Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia Sandra Logijin.



Comments


bottom of page