top of page

Penunggang motosikal maut selepas 20 jam kemalangan

  • nabalunews
  • Jul 5
  • 1 min read

5 Julai 2025


LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di simpang Kampung Bangkarat, Jalan Lahad Datu - Tungku, di sini, semalam.


Mangsa berusia 28 tahun terbabit dilaporkan meninggal dunia selepas lebih 20 jam menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.


Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.30 pagi melibatkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dan sebuah lagi motosikal Yamaha Y15.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah bandar Lahad Datu menuju ke Jalan Tungku.


Bagaimanapun katanya, mangsa dipercayai mengubah haluan ke kiri sebaik tiba di simpang menuju ke Projek Jeti Nelayan.


"Dalam masa sama, sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki berusia 25 tahun tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang motosikal mangsa.


"Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan terseret di atas jalan manakala penunggang Yamaha R15 terbabas ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, penunggang motosikal dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan mangsa yang parah dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.


"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 7.27 pagi tadi ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.


“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page