Penyakit berkaitan cuaca panas meningkat 112 kes

24 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Jumlah kes kumulatif penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 112 kes setakat semalam berbanding 109 kes pada 16 Julai lepas.
Menurut laporan ringkas status cuaca panas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), daripada jumlah itu, 26 kes adalah strok haba, 78 kes kelesuan haba dan lapan kes kejang haba.
Tiada kes kematian baharu dilaporkan pada minggu ini dengan jumlah kematian akibat strok haba kekal lima kes.
"Tiada kes yang dirawat di hospital pada masa ini. Semua kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh," menurut NADMA.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas di empat kawasan di Semenanjung.
Jabatan itu memaklumkan, terdapat dua kawasan di Perak mencatatkan cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) iaitu Larut Matang dan Kuala Kangsar.
Selain Perak, terdapat dua kawasan lain mencatatkan suhu panas Tahap 1 iaitu di Kuala Kerai, Kelantan dan Rompin, Pahang.
"Tahap berjaga-jaga adalah suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
"Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, boleh rujuk kepada laman web www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Comments