Penyakit Gaya Hidup Meningkat, Sabah Hadapi ‘Beban Berganda’ Malnutrisi
- nabalunews
- Jun 14, 2025
- 2 min read

14 Jun 2025
SANDAKAN: Sabah berdepan peningkatan ketara penyakit tidak berjangkit yang dikaitkan dengan tabiat pemakanan tidak sihat dan gaya hidup sedentari.
Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Maria Suleiman berkata, negeri ini terpaksa menanggung ‘beban berganda’ iaitu kekurangan zat makanan dan pengambilan kalori berlebihan dalam kalangan masyarakat.
Malah katanya, Malaysia juga sedang berdepan cabaran berganda kekurangan zat makanan di satu pihak dan pengambilan kalori berlebihan di pihak lain.
“Ditambah dengan pemilihan makanan yang kurang sihat. Sekiranya dimakan secara berlebihan, kita terdedah kepada penyakit seperti diabetes, dislipidemia dan tekanan darah tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Sihat Sandakan di Sejati Walk pada Sabtu.
Dr Maria berkata, Sabah juga merekodkan peningkatan kes angin ahmar dengan 298 kes baharu direkodkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan 198 di Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada tahun 2024.
Katanya, kebanyakannya kes serangan angin ahmar ini berkait rapat dengan masalah tekanan darah tinggi.
Sehubungan itu, Maria menyeru masyarakat khususnya di Sandakan dan seluruh Sabah supaya mengawal corak pemakanan dan mengelakkan malnutrisi dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Makan makanan sihat dan tingkatkan aktiviti fizikal untuk membakar kalori berlebihan,” katanya.
Maria berkata, Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi juga menunjukkan peningkatan penyakit kronik di Sabah.
“Bagi penyakit diabetes, kadar kelaziman meningkat daripada 5.7 peratus pada 2011 kepada 8.8 peratus pada 2023.
“Bagi Dislipidemia pula turut meningkat sedikit daripada 31 peratus kepada 32 peratus dan madar berlebihan berat badan naik daripada 28 peratus kepada 30.9 peratus.
“Manakala bagi masalah obesiti berada ada tahap sangat membimbangkan apabila meningkat hampir dua kali ganda daripada 10.6 peratus kepada 19.5 peratus,” katanya.
Sementara itu, Program Jom Sihat Sandakan turut menawarkan saringan kesihatan, ceramah pemakanan, kaunseling dietetik, sesi terapi dan permainan interaktif bagi menggalakkan kesejahteraan komuniti.
Inisiatif ini juga selaras dengan dasar pemakanan negara untuk mewujudkan sistem makanan yang lestari dan memastikan akses kepada diet sihat serta berkhasiat kepada semua rakyat Malaysia.















Comments