top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Peralatan perubatan tambahan akan dihantar ke Sabah esok: Khairy


Gambar Jabatan Penerangan

6 September 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar pelbagai peralatan perubatan tambahan ke negeri ini sebagai tindakan intervensi yang lebih holistik bagi menghadapi trend peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini.


Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, KKM akan menghantar peralatan perubatan tambahan ke Sabah dengan segera melalui ATM iaitu 480 unit silinder oksigen, 24 buah kotak Oxygen Regulator dan 5 buah kotak ubat-ubatan COVID-19.


Beliau berkata penghantaran itu dijangka akan tiba pada 7 September ini (esok).


“Sehingga 2 September 2021, fasiliti dan kapasiti untuk merawat pesakit COVID-19 adalah 27 buah Hospital COVID di Sabah dengan kapasiti 151 katil ICU COVID-19 dan 1,743 katil bukan ICU serta 31 PKRC Awam dan 4 PKRC Tahanan dengan kapasiti 7,143 katil,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar, selepas mesyuarat CITF Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Hajii Haji Noor dan mendengar taklimat situasi semasa jangkitan COVID-19 serta program pemberian vaksin di Sabah, di sini, hari ini.


Mengenai kapasiti pemberian vaksin di Sabah, Khairy berkata, sehingga hari ini sebanyak 224 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah diwujudkan dengan keupayaan memberi suntikan kepada 83,140 sehari.


“Aktiviti vaksinasi juga akan dipertingkatkan bagi vaksin CanSino melalui mobile outreach in the hard to reach and difficult areas bermula 27 Ogos 2021 sehingga hujung September, melibatkan 180,000 dos.


“Dalam masa terdekat juga, KKM akan menyediakan modular ICU dengan kapasiti 10 katil ICU di Hospital Tawau. Operasi modular ICU ini dijangka bermula pada hujung September ini,” katanya.


Selain itu katanya, KKM juga telah memperuntukkan 29 buah ambulans tambahan untuk keperluan hospital-hospital di Sabah.


“KKM akan mempertingkatkan jumlah bilangan ambulan melalui kaedah penyewaan sementara menunggu proses perolehan ambulan selesai mengikut tatacara perolehan semasa.


“Bagi memastikan penggunaan sumber manusia yang optimum di semua fasiliti kesihatan KKM termasuklah di lapangan, sejumlah 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap telah diarahkan melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September 2021.


“Seramai 50 Pegawai Perubatan tambahan akan ditawarkan pelantikan tetap bermula 13 September 2021,” katanya.



bottom of page