- nabalunews
Perdana Menteri kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh
31 Julai 2024
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sebagai peristiwa sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan menggagalkan rundingan sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman Israel di Gaza yang telah meragut lebih 40,000 nyawa.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan terbabit sambil menuntut keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel bagi menghentikan konflik di Gaza.
“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail.
“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan," katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau berduka dan meratapi pemergian seorang sahabat yang akrab, serta tokoh pejuang sejati rakyat Palestin.
Anwar ketika mengadakan lawatan rasminya ke Qatar Mei lalu, sempat bertemu Haniyeh.
Pertemuan tertutup empat mata antara dua pemimpin itu sebelum ini, berlangsung di sebuah hotel dengan antara inti pati pertemuan untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.
Sementara itu Perdana Menteri turut berkongsikan rakaman perbualan beliau bersama Anggota Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim.
Anwar berkata pemakluman itu diterima sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu, dan seluruh Jemaah Menteri terkejut dengan kegilaan rejim Israel yang menganggap perang dan keganasan ini boleh berakhir dengan cara menyerang dan menyeksa rakyat Palestin.
Selain itu beliau memberitahu Basem bahawa Malaysia akan tetap teguh menyokong perjuangan untuk membentuk Palestin sebagai negara yang bebas dan merdeka, dan berikrar untuk merealisasikan hasrat itu sebaik mungkin.
Basem berkata Hamas dan rakyat Palestin mempunyai kepercayaan terhadap rakyat Malaysia, khususnya Anwar sendiri, yang sentiasa lantang dalam menyokong perjuangan mereka.
Dalam perbualan tersebut, Anwar turut menyampaikan pandangannya bahawa serangan tersebut adalah satu perancangan untuk menggagalkan perjanjian damai yang sangat didambakan oleh rakyat Palestin.
“Saya pernah bercakap dengan saudara Ismail melalui telefon dan bertemu dengannya di Doha, kami berhubung dengan beberapa rakan kami. Beberapa hari yang lalu, maklumat terkini dari saudara-saudara kita di Turki, dan jelas bahawa saudara Almarhum Ismail adalah tonggak perjuangan ini.
“Dan salah satu hal yang diperjuangkan adalah perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin. Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya,” katanya lagi.
Sambil mengucapkan penghargaan kepada Malaysia dan Anwar, Basem berkata: “Saya percaya ini adalah kehilangan besar bukan hanya kepada rakyat Palestin, tetapi buat seluruh umat manusia yang bermaruah dan merdeka di seluruh dunia”.
Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kematian Haniyeh suatu kehilangan yang besar buat dunia Islam,
Katanya semangat juang Haniyeh tidak akan pudar dan kehilangannya pasti akan membangkitkan gelora perjuangan generasi akan datang.
Dewan Rakyat turut mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman rejim Zionis Israel susulan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas yang juga bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh, di Tehran, Iran hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang ketika ini berada di Tehran berkata, beliau bersolidariti dan bersama dengan rakyat Palestin.
Sebelum itu Wisma Putra mengesahkan Johari berada dalam keadaan selamat di Iran.
Jurucakapnya berkata, Johari yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semalam dijangka pulang ke tanah air, hari ini.
"Yes, we can confirm that Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato' Johari bin Abdul is safe and will leave Iran tonight. (Ya, kita mengesahkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato' Johari bin Abdul selamat dan akan meninggalkan Iran, malam ini)," katanya menerusi kumpulan WhatsApp media Kementerian Luar, hari ini.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan mesej ketika ditanya mengenai keselamatan Johari susulan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediaman pemimpin itu di ibu negara Iran, Tehran, awal pagi tadi.
Comments