Perdana Menteri rasmi majlis pecah tanah pusat data Google babitkan pelaburan RM8.29 bilion

2 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia membabitkan pelaburan sebanyak AS$2 bilion (RM8.29 bilion).
Pelaburan itu dianggarkan dapat menyumbang lebih daripada AS$3.2 bilion (RM13.27 bilion) kepada ekonomi Malaysia dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Pusat data yang akan dibina di Elmina Business Park, Selangor itu akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI, serta produk dan perkhidmatan digital lain yang digunakan oleh rakyat dan organisasi di Malaysia pada setiap hari.
Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat, berkata hari ini, Google kembali menegaskan sokongannya terhadap kemajuan masa depan digital Malaysia dengan permulaan pembinaan pusat data dan wilayah awannya di Selangor.
"Pelaburan Google dalam infrastruktur, kemahiran digital, dan kelestarian mewakili kemajuan dalam usaha kami bersama dengan kerajaan Malaysia untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan membawa manfaat AI kepada masyarakat dan syarikat tempatan.
"Bersama-sama, kami akan memperkasakan individu dan perniagaan di Malaysia untuk berinovasi, berkembang, dan memanfaatkan potensi dalam era digital dengan sepenuhnya.
"Selaras dengan tugas ini, Google juga akan meneruskan tugasnya untuk memelihara sumber semula jadi dengan bertanggungjawab melalui penambahbaikan kesihatan kawasan tadahan air komuniti dan ekosistem di Malaysia serta mendorong penerimaan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mantap Malaysia Bersama AI oleh Google dan majlis pecah tanah pembinaan pusat datanya di sini, semalam.
Terdahulu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, dalam ucap tamanya berkata, pihaknya memuji kepantasan Google dalam menubuhkan pusat data dan wilayah awan di Malaysia.
Katanya, kemudahan bertaraf dunia itu bukan sahaja akan memperkasakan industri pembuatan dan perkhidmatan negara untuk memanfaatkan teknologi canggih seperti AI dan pengkomputeran awan, tetapi juga akan meningkatkan keupayaan industri untuk bersaing dalam rantaian nilai global.
"Sejajar dengan matlamat pelepasan sifar bersih negara, kami juga mengalu-alukan kepimpinan Google dalam mengendali operasi cekap tenaga, yang pasti akan menetapkan penanda aras nasional baharu dalam keberkesanan penggunaan tenaga dan air.
"Namun, kita perlu menekankan bahawa perjalanan ini adalah untuk rakyat kita. Rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan, terutamanya apabila lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi dan berfokus AI memasuki negara ini, dan apabila kita meningkatkan kapasiti Malaysia untuk melayani ekonomi digital serantau.
"Komitmen berterusan Google untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita melalui program seperti Gemilang dan Future Skills for All juga akan memastikan masa depan digital yang lebih inklusif untuk tenaga kerja Malaysia," katanya.
Comments