Pergerakan gaji kakitangan swasta bergantung keuntungan syarikat - Johari

18 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Kadar dan pergerakan gaji kakitangan swasta bergantung pada keuntungan syarikat, tetapi majikan perlu mematuhi perintah gaji minimum yang sudah ditetapkan kerajaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata majikan swasta tidak tertakluk dengan keputusan kerajaan menyelaras gaji penjawat awam seperti diumumkan kelmarin kerana kedua-dua sektor adalah berbeza.
"Insentif kenaikan gaji dalam sektor swasta berbeza dengan kerajaan kerana ia bergantung kepada rekod keuntungan dicatatkan syarikat. Jika untung, insentif untuk pekerja swasta lebih tinggi berbanding penjawat awam.
"Ini kerana ia tidak hanya membabitkan kenaikan gaji, malah pemberian bonus berbulan-bulan," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Johari berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, di sini, pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ada syarikat swasta mampu mencatatkan keuntungan besar dan boleh memberi kenaikan gaji sehingga dua tiga kali ganda, malah ada memberi bonus tahunan mencecah 10 bulan kepada kakitangan.
"Namun sekiranya syarikat catat kerugian, pastinya mereka tidak boleh berbuat demikian. Jika dilakukan juga, mungkin syarikat itu akan tutup pada akhirnya. Jadi kenaikan gaji ini bergantung kepada prestasi setiap syarikat," katanya.
Walaupun syarikat swasta tidak tertakluk dengan pergerakan gaji seperti perkhidmatan awam, beliau berkata, majikan sektor itu tetap perlu mematuhi perintah gaji minimum yang ditetapkan kerajaan.
"Syarikat swasta perlu mengikuti garis panduan gaji minumum, tetapi dalam peningkatan kenaikan gaji, ia bergantung kepada keuntungan," katanya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi.
Pelarasan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, yang pertama bermula 1 Disember ini, manakala fasa kedua bermula 1 Januari 2026 kerana kekangan kewangan dan kerajaan mahu mengelakkan inflasi.
Comments