Perhimpunan atau majlis sosial tidak dibenarkan - KJ
- Wartawan Nabalu News
- Oct 24, 2021
- 2 min read

24 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melarang sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuatkuasa esok sehingga 27 November depan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes yang mendadak.
Menterinya, Khariy Jamaluddin berkata larangan tersebut termasuklah penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Katanya, KKM menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan pilihan raya yang akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November.
“Berdasarkan pemantauan situasi Covid-19 oleh KKM, didapati antara penyumbang peningkatan kes dan kluster di Malaysia adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Memandangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 masih tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes COVID-19 baharu yang dilaporkan, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293/2021] yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.
“Akta tersebut juga memperuntukkan tiada seorang pun boleh, semasa dalam mana-mana fasa yang ditetapkan, berhimpun atau terlibat dalam perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.
“Larangan ini juga selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam Pelan Pemulihan Negara SOP Fasa 4 yang terkini iaitu apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.
Khairy turut meminta agar semua pihak mematuhi peraturan, SOP dan arahan yang ditetapkan bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat mencegah peningkatan kes dan kejadian kluster.
“Sebarang pelanggaran kepada peruntukan itu, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),”tegasnya
Comments