Perjuangan BKD, saya perkasakan apa yang dimulakan Tan Sri Bernard - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perjuangan BKD, saya perkasakan apa yang dimulakan Tan Sri Bernard - Ewon


Gambar muka depan berita KLF News pada 12 Januari - Disember 2010 adalah gambar yang diambil oleh Ewon yang ketika itu Setiausaha Akhbar Dompok, semasa majlis pelancaran program minor (BKD) di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI yang dirasmikan oleh Tan Sri Bernard Dompok pada 30 Sept 2010.


8 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TEMUBUAL EKSLUSIF BERSAMA DATUK EWON BENEDICK

 

Atagak nopo boros (Hilang Bahasa)

Atagak noh Koubasanan (Hilanglah budaya)

Atagak nopo koubasanan

Atagak noh kointutunan (Hilang Identiti)

Atagak kointutunan,

Atagak noh piombolutan (Hilang Persahabatan)

Atagak piombolutan

Atagak piompinaian (Hilang Persaudaraan)

 

Perjuangan memartabatkan Bahasa Kadazadusun (BKD) yang dimulakan oleh para pemimpin terdahulu perlu diterus dan diperkasakan.

 

Sehubungan itu sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), satu temu bual khas bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick, bagi mengupas lebih lanjut usaha-usaha ke arah itu.

 

1. Sejauh mana YB Datuk melihat pembangunan Bahasa Etnik di Malaysia?

 

Semua rakyat Malaysia wajib menguasai sekurang-kurangnya tiga Bahasa iaitu pertamanya Bahasa Kebangsaan, keduanya bahasa ibunda masing-masing kerana itu menunjukkan identiti budaya bangsa Masyarakat Malaysia yang semua kita maklum negara kita adalah satu negara majmuk dan perlu dipertahankan serta perlu dikembangkan.

 

Bahasa ketiga adalah bahasa antarabangsa contohnya, Bahasa Inggeris walupun sukar untuk rakyat kuasai tetapi negara kita adalah negara perdagangan yang mempunyai hubungan diplomatik dengan banyak negara luar dan kita menerima kehadiran jutaan pelacong. Maka wajar dan mustahak untuk setiap rakyat memiliki sekurang-kurangnya Bahasa antarabangsa.

 

Saya menghargai kerajaan yang ada sekarang Kerajaan Madani kerana terus mempertahankan pengajian bahasa etnik sedia ada yang telah diajar di sekolah-sekolah menengah dan di university, termasuklah mata pelajaran Bahasa Kadazandusun.

 

2. Pada pendapat YB Datuk mengapa Bahasa Etnik perlu diajar secara formal sejak di bangku sekolah lagi? 

 

Pada pandangan saya selain daripada rumah, sekolah merupakan tempat utama anak-anak muda terutamanya kanak-kanak belajar bahasa kebangsaan, bahasa antarabangsa dan bahasa ibunda setiap hari dan memudahkan mereka menguasai bahasa tersebut. Di negara kita Sabah, perkahwinan campur di antara dua latar belakang kaum yang berbeza sering kali berlaku. Sekiranya ibu (Kadazan) dan bapa (Bajau) jadi bahasa yang dituturkan anaknya di rumah mungkin Bahasa Melayu. Walaupun anak tersebut jarang berkomunikasi dengan ibu bapanya menggunakan bahasa ibunda tetapi di sekolah anaknya ada subjek bahasa Kadazandusun maka anak itu boleh mengambil kelas BKD di sekolahnya dan bergaul dengan pelajar-pelajar akan memperceptkannya menguasai bahasa Kadazandusun.

 

Sekiranya pelajar itu memilih memasuki sekolah kebangsaan sekolah Cina, maka dia berpeluang belajar dan menguasai bahasa Mandarin serta memperbaiki penguasaan bahasanya.

 

3. Bagaimana Datuk melihat rumpun bahasa etnik ini supaya tidak dilupakan dan terus digunapakai oleh generasi muda?

 

Kita sangat berbangga mengakui Malaysia negara kita dan Sabah negeri kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, negara majmuk dan bagaimana kita menanam rasa bangga ini melainkan kita membuktikan identiti bangsa kita.

 

Saya setuju pandangan yang mengatakan bahawa bahasa itu adalah identiti bangsa. Bila saya bercakap bahasa Kadazandusun saya dikenali sebagai seorang yang datang daripada rumpun Bahasa Kadazan Dusun. Sekiranya saya berbicara dalam bahasa Hakka maka saya dikenali sebagai seorang yang datang daripada keluarga masyarakat Hakka.

 

Semua ini kita pertahankan kerana setiap kaum mempunyai warisan budaya tersendiri dan kita perlu menjaga supaya 60 tahun yang akan datang Malaysia masih dikenali sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan warisan.

 

4. Siapa yang perlu memikul tanggungjawab memartabatkan rumpun Bahasa Etnik ini?

 

Semua pihak ada perananya bermula daripada ibu bapa dan ahli keluarga kita sendiri. Keduanya, sistem pendidikan kita dan institusi pendidikan dari sekolah rendah sehingga universiti dan juga kementerian serta pihak kerajaan harus menyediakan sistem sokongan kepada sistem pendidikn tersebut dengan mengambil guru terlatih, silibus, pembiayaan yang diperlukan, tempat pembelajaran dan sebagainya.

 

Sekiranya kita menggunakan tiga penguasaan bahasa iaitu Bahasa ibunda (etnik), Bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu) dan bahasa antarabangsa bukan sahaja kita mempertahankan identiti kita tetapi kita juga berbanga kerana boleh berkomunikasi dengan masyarakat luar dari negara-negara lain.

 

Rakan-rakan media juga mempunyai peranan dalam memperluaskan penggunaan bahasa etnik seperti membuat video pelbagai bahasa ibunda dan dimuat naik di media sosial. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga menggunakan banyak terminologi, banyak tatabahasa baru dengan istilah-istilah yang perlu kita kuasai.

 

5. Adakah bahasa etnik ini sesuai dijadikan sebagai bahasa pilihan ketiga di institut pengajian tinggi selain daripada bahasa-bahasa lain?

 

Saya seseorang yang konsisten mendukung rakyat kita, harus menguasai sekurang-kurangnya tiga Bahasa iaitu, bahasa kebahgsaan, ibunda dan antarabangsa. Bahasa ibunda bukan hanya sebagai pilihan tetapi kita harus menguasainya dan kita wariskan kepada generasi akan datang.

 

Saya menghargai keterbukaan dan ketersediaan institusi pengajian contohnya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menyediakan pengajian dalam bahasa etnik seperti Bahasa Kadazandusun (BKD) kerana tanpa dokongan institusi pendidikan, tanpa dokongan dalam dasar dan sistem pendidikan, tidak mungkin bahasa etnik itu boleh dipertahankan.


Masih banyak bahasa etnik yang belum dimasukkan dalam sistem pendidikan. Sekiranya ini berterusan ianya boleh mengancam kepupusan bahasa etnik tersebut. Apa salahnya kita belajar bahasa etnik yang lain kerana kita dapat memperkasakan hubungan kaum yang lebih baik.

 

Saya sangat berbanga kerana di Sabah, contohnya sekolah Cina mempunyai ramai pelajar dalam kalangan bumiputera sama ada kadazan, Dusun, Bajau dan kaum-kaum lain. Mereka boleh bertutur dalam bahasa Cina. Oleh itu, hubungan antara kaum akan menjadi lebih baik melalui komunikasi, maka keharmonian kaum di negara kita akan terpelihara.

 

6. Pada pendapat YB Datuk adakah Bahasa Etnik ini diancam kepupusan kerana penggunaan meluas bahasa Melayu dan Inggeris?

 

Sebenarnya ancaman itu sudah pun terbukit. Jadi berdasarkan kepada soalan ini saya harus menyelidik apakah bahasa tersebut dan tempatnya. Tapi saya percaya ianya sedang berlaku di Sabah. Semakin kurang pengamalan bahasa-bahasa etnik dikalangan rakyat kita sendiri susulan pilihan kita untuk membudayakan bahasa kebangsaan dan bahasa utama seperti Bahasa Inggeris, Mandrin dan sebagainya.

 

Sebab itu antara perjuangan kita (kerajaan) ialah membantu persatuan-persatuan etnik supaya dapat disokong mellaui penyaluran dana, terutamanya persatuan yang menubuhkan Tadika ataupun Prasekolah yang mengajar bahasa etnik.

 

Pada tahun lepas, saya telah menyalurkan peruntukan untuk mereka walaupun tidak besar tetapi mereka dapat menggunakannya untuk membuka tadika ataupun untuk persatuan tersebut memperkenalkan bahasa etnik secara online termasuk membuat kamus etnik mereka untuk dikongsi dan diberikan kepada keluarga ataupun anak-anak dalam etnik tersebut. Selagi saya berada dalam kabinet, saya akan terus membantu persatuan etnik ini untuk memperkasakan warisan bahasa mereka untuk ahli-ahli persatuan.

 

7. Mengikut rekod, empat bahasa etnik Sarawak telah pupus kerana kurangnya penggunaan bahasa tersebut. Apa kaedah dan rancangan Datuk dalam memperkasakan pembangunan Bahasa Etnik di Malaysia supaya tidak pupus?

 

Saya akui, inilah yang boleh berlaku kepada bahasa-bahasa etnik lain yang belum dimasukkan dalam sistem pendidikan negara kita. Saya maklum usaha beberapa persatuan etnik yang mengadakan kelas Tadika untuk etnik mereka. Sekurang-kurangnya kanak-kanak prasekolah ini berpeluang untuk belajar bahasa ibunda mereka.

 

Saya juga maklum usaha-usaha persatuan ini untuk mendapatkan dokongan kerajaan supaya bahasa ibunda mereka dapat diajar di sekolah-sekolah mengikut silibus. Tidak salah sekiranya kita menggunakan Bahasa Melayu apabila bersama keluarga d rumah tetapi bahasa etnik itu perlu dikuasai.

 

Oleh sebab itu, kerajaan mempunyai cara tersendiri untuk memastikan bahasa-bahasa etnik di negara ini didukung supaya identiti dan bahasa mereka dapat dipertahankan. Kerajaan boleh menyediakan atau memberi sokongan dari segi dana yang konsistem setiap tahun kepada Tadika atau Prasekolah. Tidak semestinya memasukkan subjek etnik itu dalam sistem pendidikan kerana mungkin bilangan komuniti itu tidak ramai tetapi hanya mahu bahasa etnik terus dipertahankan.

 

8. Umum mengetahui, ramai mahasiswa daripada Borneo melanjutkan pengajian mereka di Semenanjung, bagaimana pendapat YB Datuk supaya mereka terus menggunakan dan mengembangkan rumpun bahasa etnik ini?

 

Selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan koperasi dan juga menteri yang bertanggungjawab kepada Yayasan Bank Rakyat (YBR), saya telah mencadangkan kepada Yayasan Bank Rakyat untuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan UPSI untuk tujuan menyediakan sokongan pembiayaan kepada para pelajar daripada Sabah terutamnya kepada para pelajar yang mengikuti pengajian Bahasa kadazandusun di UPSI. Ini kerana, saya percaya selepas mereka tamat pengajian, mereka boleh menyertai perkhidmatan pendidikan, menjadi guru dan bertugas di mana-mana sekolah untuk subjek Bahasa Kadazandusun.

 

Pada 1 Februari lalu, satu memorandum persefahaman di antara Yayasan Bank Rakyat dengan UPSI akan ditandatangani dan ini merupakan satu kesinambungan kepada pengujudan krusi pengajian tersebut. Tujuannya untuk mengeluarkan graduan yang menjadi guru-guru bertugas dalam sekolah di seluruh negara yang menawarkan Bahasa Kadazandusun.

 

Sudah tentu pelajar ini memerlukan pembiayaan walaupun ada pembiayaan yang boleh diperolehi daripada agensi lain tetapi seridak-tidaknya ini juga di bawah tanggungjawab saya telah menjadi sebahagian daripada sinergi dan telah menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengeluarkan graduan yang boleh membantu Bahasa Kadazandusun di sekolah-sekolah selepas mereka bergraduan.

 

9. Apakah seruan YB Datuk kepada masyarakat dalam mempertahankan warisan budaya termasuk Bahasa Kadazandusun bagi memastikan Bahasa ini tidak pupus ditelan zaman?

 

Pertama saya mengajak semua ibu bapa kerana saya juga seorang bapa untuk menjalankan tanggungjawab kita. Tanggungjawab pertama kita adalah untuk memastikan bahasa etnik atau bahasa ibunda itu diguna pakai apabila berkomunikasi dengan anak-anak bukan sahaja di rumah tetapi di luar ketika bersama keluarga.

 

Kedua, saya berharap agar Kementerian Pendidikan terutamanya guru-guru terus komited membantu masyarakat etnik Kadazandusun mengajar dan menyediakan pembelajaran yang menarik kepada anak-anak di sekolah supaya mereka dapat menguasai serta mempelajari dengan lebih baik.

 

Ketiga saya menyeru pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan badan Korporat untuk turut serta memberikan penghargaan kepada institusi pengajian atas usaha dan kerja yang dilakukan. Apabila mereka membuat pengambilan pekerja, misalnya bagi sektor korporat atau pemilik perniagaan, jangan hanya jadikan Bahasa antarabangsa itu sebagai satu syarat untuk mereka mendapatkan pekerjaan tetapi, memerlukan seseorang yang boleh mempromosikan menggunakan bahasa etnik agar menjadi tarikan kepada etnik itu untuk membeli daripada syarikat tersebut.

 

Kita mesti menghargai apa yang ada dalam sistem pendidikan kita contohnya, pengajian BKD, penggunaan bahasa Bunduliwan sebagai tata bahasa utama (bahasa standard) di sekolah sekolah dalam pengajian Bahasa Kadazandusun. Dahulunya Kadazan telah melalui satu proses dan ada perjanjian di antara Kadazandusun Cultural Association (KDCA) dengan United Sabah Dusun Association (USDA) dan mengambil masa yang lama. Seruan saya supaya semua masyarakat kadazandusun, peminpin bersatu hati memastikan apa yang ada dalam sistem pendidikan itu kita pertahankan. Kita mesti menghargai, pertahankan dan kembangkannya apa yang diperjuangkan pemimpin terdahulu dalam memartabatkan Bahasa etnik kita.

 

10. Apakah pandangan peribadi YB Datuk mengenai Bahasa Etnik khususnya Bahasa Kadazandusun di Sabah?

 

Saya melihat Bahasa Kadazandusun di Sabah masih digunakan dengan meluas kerana bahasa ini bukan hanya diajar dalam sistem pendidikan negara tetapi digunakan secara meluas dalam industri muzik. Bahasa ibunda ini menjadi bahasa utama dalam perbualan harian sekiranya kita berada di kampung terutamanya di pasar dan di tamu-tamu.

 

Bagaimanapun, kita tidak boleh berhenti setakat ini sahaja, kita boleh menjadikan ini sebagai satu tarikan pelancong.

 

11. Selain bahasa ibunda Kadazandusun, adakah YB Datuk turut menyokong pemerkasaan bahasa ibunda etnik yang lain?

 

Saya telah menyokong beberapa persatuan etnik bermula daripada Sabah termasuk komuniti Orang Asli di Semenanjung. Saya akan teruskan usaha ini, walaupun tidak sampai ke tahap membawa bahasa ibunda tersebut dalam sistem pendidikan, tetapi sokongan saya sehingga persatuan etnik itu didukung dengan dana yang diperlukan untuk meneruskan pembelajaran etnik mereka secara bersemuka atau online.

 

12. Apakah pesanan/perutusan YB Datuk kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan memelihara warisan dan bahasa ibunda?

 

Malaysia ini negara majmuk, semua etnik, semua kaum mempunyai peranan dari mula negara ini ditubuhkan, bapa-bapa pengasas terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik dan sudah tentu mereka mahu warisan budaya termasuk bahasa dapat diwariskan pada tahun-tahun yang akan datang.

 

Kepelbagaian inilah yang boleh menjadi kekuatan dan kelemahan kita. Sekiranya kita tidak mahu mengambil inisiatif untuk saling menghargai dan saling menghormati perbezaan kaum dan etnik yang lain, ini akan menyebabkan konflik antara kaum dan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat serta menghalang kemajuan negara.

 

Selagi saya menjadi Presiden UPKO, selagi saya berada dalam kepimpinan sama ada di peringkat Sabah atau Persekutuan, ini yang akan saya perjuangkan dengan memastikan bukan hanya diberi perlindungan dari segi undang-undang dan perlembagaan tetapi juga kerjasama antara kaum dan agama itu sebagai satu kekuatan mempertahankan negara kita.

 

Saya berharap rakan-rakan pemimpin lain yang datangnya daripada parti, pimpinan NGO ataupun pimpinan mewakili kelompok-kelompok komuniti ini boleh berkongsi aspirasi yang sama dan bersama-sama mempertahankan negara Malaysia agar menjadi lebih baik pada masa akan datang.


Kita ambil iktibar daripada negara-negara lain, sudah tentu kita tidak mahu bergaduh dengan jiran kita hanya kerana perbezaan bahasa, agama, budaya dan kaum. Sudah tentunya kita mahu saling melengkapi kerana kita tahu negara ini milik penduduk rakyat Malaysia.


Ewon (tengah) menyaksikan majlis pertukaran dokumen MoU antara UPSI dan YBR, pada 1 Februari lalu.

Terima kasih kepada YBR kerana menerima keinginan saya untuk melihat kerjasama ini dimuktamadkan dan dilanjutkan sebagai kesinambungan kepada apa yang telah dimulakan oleh Tan Sri Bernard Dompok dahulu semasa beliau Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu dan saya bertugas sebagai Pegawai Akhbar.


Setiap yang baik harus ada kesinambungan, kalau ketika itu kita cakap tentang memulakan pengajian minor BKD, sekarang ini ia sudah menjadi pengajian major di UPSI. Sudah tentu ia tidak terhenti setakat itu sahaja, tetapi harus didukung dengan pembiayaan.

bottom of page