Perjuangan tuntut hak Sabah tidak terletak pada logo parti, kata Ewon
12 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Perjuangan untuk menuntut hak Sabah tidak terletak pada logo mana-mana parti, tetapi melalui kepimpinan, kata calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.
Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, parti yang tidak menggunakan logo sendiri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sepatutnya dituduh tidak memperjuangkan hak Sabah.
"Soal guna logo parti sendiri tidak timbul dan ia bukan faktor untuk menentukan siapa yang memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak.
"Tanpa melihat kepada logo, UPKO dan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan hak Sabah sampai ke mahkamah untuk menuntut 40 peratus Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.
"Justeru, mereka yang guna logo masing-masing dalam PRU15 ini, saya tidak nampak perjuangan mereka sampai ke mahkamah. Kalau setakat berjuang di Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen atau dalam kenyataan media, dalam parti, itu semua pun kita buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Timpangoh Laut Sugud, dekat sini, kelmarin.
Ewon yang juga Naib Presiden UPKO mengulas kenyataan berhubung dakwaan yang mengatakan UPKO mengorbankan logo sendiri dalam PRU15 dan tidak memperjuangkan hak Sabah.
“Kita pun mahu lihat parti yang guna logo sendiri ini, apa pendekatan mereka? Kalau tidak mahu berjuang dengan cukup berani dan setakat cakap dalam media, cakap dalam kempen pun sama juga, rakyat Sabah tidak akan mendapat keputusan.
“Kalau mahkamah sudah memutuskan saman yang kami failkan pada 3 Jun lepas, saya percaya keputusan itu baik untuk rakyat Sabah,” katanya.
Katanya lagi, sama ada menggunakan logo sendiri atau gabungan ia bukan persoalan yang sepatutnya dibangkitkan, sebaliknya pendekatan yang digunakan dalam memperjuangkan hak Sabah itu lebih penting.
Dalam kenyataan media kelmarin, Calon Parti Warisan (Warisan) Tuaran, Jo-Anna Sue Henley Rampas mempersoalkan kebolehan UPKO dalam menuntut hak-hak Sabah.
Menurutnya, jika logo sendiri terpaksa dikorbankan pada PRU-15 ini bagaimana mereka mahu menuntut hak autonomi Sabah.
Comments