Perkhidmatan kardiologi bakal beroperasi di Hospital Tawau
- nabalunews
- Aug 15, 2025
- 1 min read

15 Ogos 2025
TAWAU: Hospital Tawau bakal menjadi pusat rujukan rawatan kardiologi di pantai timur Sabah menerusi pengoperasian Makmal Invasif Kardiologi (ICL) pertama di wilayah ini, tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, makmal berkenan dijangka memulakan operasi selepas proses tender dikeluarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Katanya, ia bakal menawarkan rawatan jantung menyeluruh termasuk angiogram, angioplasti dan pelbagai prosedur berkaitan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk wilayah berkenaan yang sebelum ini terpaksa mendapatkan rawatan di Kota Kinabalu.
“Ekosistem lengkap termasuk infrastruktur bagi pengoperasian makmal itu sudah dikenal pasti dan akan dibekalkan segera,” katanya menurut Bernama selepas meninjau Makmal Kardiak Invasif dan Perasmian Inisiatif Pharmacy Park & Take, di Hospital Tawau di sini, semalam.
Menurutnya, perkhidmatan itu menyasarkan masa rawatan 'door-to-ECG' kurang 10 minit, iaitu masa dari pesakit tiba di hospital sehingga ujian Electrocardiogram (ECG) dilakukan, manakala sasaran ‘door-to-balloon’ bagi prosedur angioplasti pula kurang daripada 90 minit.
Dalam perkembangan sama, Dzulkefly menerusi hantaran di Facebook berkata, dengan penubuhan ICL itu, pesakit di pantai timur Sabah kini boleh menerima rawatan segera bagi kes serangan jantung tanpa perlu dirujuk ke hospital luar kawasan.
“Ini mempercepatkan door-to-balloon time, menyelamatkan nyawa, mengurangkan kos, dan memastikan akses rawatan kardiologi yang saksama,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Pharmacy Park & Take, beliau berkata inisiatif tersebut membolehkan pesakit klinik pakar mengambil ubat susulan dengan lebih mudah, tanpa perlu menunggu lama di kaunter.
“Ia akan beroperasi sepenuhnya pertengahan September ini, memberi manfaat kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), penjawat awam dan pekerja swasta yang terhad masa, sekaligus menjimatkan masa pesakit daripada kesesakan harian di farmasi pesakit luar,” katanya.















Comments