PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN NEGARA DIBUKA SEMULA SELASA INI
- nabalunews
- Mar 4, 2021
- 1 min read
Updated: Mar 5, 2021

4 Mac 2021
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) termasuk Perpustakaan Komuniti dibuka semula kepada pengunjung bermula Selasa depan (9 Mac).
Perkhidmatan berkenaan akan beroperasi dari 10 pagi hingga 5 petang pada Selasa hingga Sabtu.
Timbalan Ketua Pengarah PNM Datin Jamaliah Mohd Nayan berkata perkhidmatan yang dibuka membabitkan Kaunter Penerangan dan Pendaftaran Keahlian; Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara serta Perkhidmatan Pinjaman Berkelompok dan Buku Dewasa di Menara PNM dan Wisma Sejarah serta Perkhidmatan Perpustakaan Kanak-kanak di Anjung Bestari. Menurut beliau, penyerahan Bahan Akta (PPTN) dan Perkhidmatan kepada Penerbit (ISBN/ISSN/PDP) di Anjung Bestari akan beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu di Menara PNM dibuka 10 pagi hingga 5 petang.
Perpustakaan Awam Bukit Damansara; Perpustakaan Komuniti Mahkota Cheras (BMC Mall); Perpustakaan Komuniti AEON di AU2 Setiawangsa (AEON AU2, Setiawangsa); Perpustakaan Buku2U@Radia (Radia, Bukit Jelutong) dan Perpustakaan Komuniti UTC Keramat (Mini UTC, Keramat Mall) beroperasi 10 pagi hingga 5 petang setiap Selasa hingga Sabtu.
“Saya ingin menasihati pengunjung supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini. Selain itu, Jamaliah turut memaklumkan bahawa Program Bebas Denda (tiada denda lewat pemulangan buku) dilanjutkan hingga 31 Mac ini. - Bernama
留言