Permohonan bantuan tunai Budi individu dan Budi Agri-Komoditi meningkat

11 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA, 10 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah permohonan bantuan tunai Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi melalui portal https://budimadani.gov.my menunjukkan peningkatan mendadak.
Perkara tersebut diumumkan semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 4 Tahun 2024 yang diadakan semalam.
“Kumpulan pertama individu layak akan menerima RM200 yang akan didepositkan ke dalam akaun bank mereka pada 10 Jun 2024,” kata Anwar menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan perkembangan semasa pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan bahawa MTEN Bilangan 4 Tahun 2024 turut meneliti kertas “Pemerkasaan Industri Kereta Api”.
Beliau menjelaskan bahawa perbincangan tertumpu kepada kepentingan pelaksanaan segera rasionalisasi industri kereta api negara berdasarkan objektif Akta Keretapi 1991 (Akta 463).
“Selari dengan matlamat rasionalisasi subsidi, kerajaan giat memberi fokus kepada meningkatkan jaringan, infrastruktur, dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Mesyuarat turut memperincikan langkah-langkah memastikan perkhidmatan KTM Komuter, tren laju antara bandar (ETS), dan Ekspres Timuran oleh KTM Berhad memenuhi keperluan kekerapan dan jumlah penumpang semasa serta jangkaan masa hadapan,” tambahnya.
Anwar menekankan kepentingan penyelesaian segera isu-isu dasar dan pelaksanaan bagi keputusan-keputusan tersebut. Beliau menegaskan bahawa hal ini penting untuk memastikan objektif serta kesan ekonomi dan sosial yang dihasratkan kerajaan dapat dirasai rakyat mengikut jadual dan kesalinghubungan di bawah kerangka Malaysia MADANI dan Ekonomi MADANI.
Comments