Permohonan ke sekolah khusus dibuka mulai 10 Oktober ini
7 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Permohonan bagi kemasukan ke sekolah khusus, bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat bagi tahun 2022 kini dibuka bermula 10 Oktober (Ahad ini) hingga 15 November.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekolah-sekolah khusus itu ialah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) Maktab Tentera Diraja(MTD).
Menurut KPM, satu Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) turut diperkenalkan bagi tujuan pemilihan murid untuk kemasukan ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat yang akan dimulakan tahun ini.
“Bagi permohonan Tingkatan 1 kemasukan ke Sekolah Khusus tahun 2022, pemohon boleh mengakses pautan https//:spskt1.moe.gov.my manakala permohonan ke Tingkatan Empat melalui pautan https//:spskt4.moe.gov.my.
“Permohonan secara dalam talian ini melibatkan, SBP bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat, SMKA (Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat 4), SMT (Tingkatan Empat), KV (Tahun Satu), dan MTD (Tingkatan Empat 4).
“Semua pemohon boleh membuat semakan pusat pentaksiran secara dalam talian bermula dari 1 Disember 2021,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sehubungan itu, pentaksiran akan bermula dari 17 Januari 2022 hingga 27 Januari 2022 bagi Tingkatan Satu dan 7 Februari 2022 hingga 17 Februari 2022 bagi Tingkatan Empat.
Antara syarat permohonan kemasukan ke sekolah khusus ialah pemohon merupakan warganegara Malaysia, telah mendaftar dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) KPM, Murid Tahun Enam Tahun 2021 (berumur 12 tahun atau lahir pada 2 Januari 2009 hingga 1 Januari 2010 dan Murid Tingkatan Tiga Tahun 2021 (Berumur 15 tahun atau lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007).
Keputusan bagi pemilihan murid akan diumumkan pada 15 Mac 2022.
Comments