top of page

Pernas perlu dikekalkan di bawah Kuskop: Ewon

Wartawan Nabalu News


13 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) akan terus kekal di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) seperti yang telah diputuskan oleh kabinet awal tahun ini.


Beliau berkata, sebelum ini beberapa siri perbincangan antara Kuskop dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah diadakan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan Pernas akan terus kekal di bawah Kuskop.


"Oleh itu, keputusan meletakkan Pernas sebagai agensi di bawah Kuskop telah diwartakan dan diputuskan dalam mesyuarat kabinet awal tahun ini dan saya percaya keputusan itu harus kekal.


“Bagaimanapun sekiranya ada hasrat KPDN untuk berbincangn lebih lanjut, kita terbuka dan akan menyatakan pandangan seperti yang telah dinyatakan pada 22 Disember tahun lepas, seperti yang dinyatakan dalam beberapa siri perbincangan melibatkan kedua-dua kementerian sebelum itu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Pecah Tanah The Jardin Sentul, di sini, hari ini.


Pada 7 Julai, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, KPDN sedang berusaha mengembalikan Pernas di bawah seliaan kementerian itu bagi mengurangkan kecelaruan dalam penyelarasan industri francais.


Salahuddin dipetik sebagai berkata, buat masa ini akta berkaitan francais termasuk pendaftaran berada di bawah seliaan KPDN manakala latihan dan bimbingan berkaitan pembangunan francais di bawah kuasa Kuskop.


Ewon berkata kedua-dua kementerian harus memfokuskan kepada fungsi dan perkhidmatan masing-masing dalam membangunkan industri francais.


Sementara itu, projek pembangunan The Jardin Sentul adalah projek usaha sama Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Bhd (KPSPB) dan Menarez Development Sdn Bhd.


The Jardin Sentul adalah sebuah blok 29 tingkat Residensi Wilayah yang mempunyai 322 unit kediaman pada harga RM300,000.


Projek dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM120 juta itu akan mula dilaksanakan pada Oktober tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page