top of page
  • Wartawan Nabalu News

Persatuan Pengguna Bijak seru orang ramai bantu SESB tangani kes kecurian kabel


11 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama kepada Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dalam menyelesaikan masalah kecurian kabel elektrik yang mengganggu bekalan elektrik.


Presiden persatuan itu, David Chan berkata, pihak berkuasa tidak boleh bertindak sendirian tanpa sokongan dan bantuan daripada masyarakat dalam mengesan dan menangkap pihak yang tidak bertanggungjawab.


Beliau berkata, kecurian kabel elektrik bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada SESB tetapi juga menyusahkan rakyat yang bergantung kepada bekalan elektrik.


"Orang ramai perlu menjadi mata dan telinga kepada SESB dan pihak berkuasa. Kita berharap masalah ini diberi perhatian serius oleh semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin masyarakat," katanya.


Beliau memberi komen berhubung kejadian kecurian kabel yang menyebabkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah iaitu Menara Kinabalu mengalami gangguan bekalan elektrik.


Menurut beliau, SESB terpaksa menggunakan enam janakuasa mudah alih untuk membekalkan elektrik ke bangunan setinggi 33 tingkat itu yang turut menempatkan Pejabat Ketua Menteri Sabah dan beberapa kementerian negeri.


Selain itu, beberapa kawasan perumahan dan premis komersial berdekatan juga terjejas akibat kecurian kabel tersebut.


"Kes ini telah menyebabkan kesusahan kepada banyak pihak kerana SESB mungkin memerlukan beberapa hari atau seminggu untuk membaik pulih bekalan. Kita difahamkan kes ini juga berlaku kerap dan perlu dihapuskan segera," tegasnya.


David juga menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga barangan lusuh atau barangan terpakai yang membeli kabel curi kerana mereka juga bersubahat dalam kes ini.


Beliau yakin jika tiada pembeli, tidak mungkin akan berlaku kegiatan mencuri kabel tersebut kerana harga tembaga sangat tinggi dan mendapat permintaan daripada peniaga.

Comentarios


bottom of page