Persiapan Dikekalkan Bagi Hadapi Gelombang Kedua Banjir - Saifuddin Nasution
7 Disember 2024
TUMPAT: Segala persiapan keanggotaan dan aset bagi menghadapi gelombang kedua banjir adalah sama seperti gelombang pertama, iaitu memberi keutamaan pada menyelamatkan nyawa dan harta benda kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Seluruh persiapan kita menghadapi gelombang kedua dan tahap siap siaga itu dikekalkan dan kita berharap prestasi yang serupa digerakkan.
“Pemindahan mangsa-mangsa di PPS (pusat pemindahan sementara) adalah keutamaan kita dan dalam tempoh itu kerajaan juga merekodkan infrastruktur yang rosak akibat banjir,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, di sini pada Jumaat, lapor Bernama.
Mengenai operasi pembersihan infrastruktur yang terjejas banjir, Saifuddin Nasution berkata perkara itu akan dilakukan secara berperingkat.
“Tadi dalam mesyuarat jemaaah menteri yang dipengerusikan TPM (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) telah memberikan pembentangan mengenai strategi pasca banjir dan langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah skuad sukarelawan MADANI di bawah seliaan KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar).
“Di pihak kementerian saya mengerahkan untuk menggunakan seluruh aset pasukan polis bagi menumpukan gerak kerja pembersihan,” katanya.
Isnin lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan luruan monsun akan berlaku dari 8 hingga 14 Disember ini di timur Semenanjung Malaysia dan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan terbabit dalam tempoh itu.
Comments