top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pertandingan ‘Battle Of Duo M7’ cungkil bakat istimewa

Sylviana (kiri), Justinus (tengah) dan Polly.

20 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pertandingan akhir “Battle Of Duo M7” akan diadakan pada 1 Oktober ini, di depan Mile 7 Restaurant & Café, tingkat bawah Bangunan Hiong Tiong, Batu 7 Jalan Tuaran, Inanam.


Jurucakap pertandingan itu, Sylviana Viana Saiki berkata, pertandingan itu bertujuan mencungkil bakat-bakat terpendam rakyat negeri ini.


“Antara kelainan pertandingan ini ialah ia diadakan secara berpasangan, berbanding pertandingan lain yang disertai secara individu. Ini antara cara kita menyokong bakat tempatan dalam mempelbagaikan atau menonjolkan versatiliti para peserta,” katanya.


Sylviana atau lebih dikenali sebagai Vie Jimmy berkata, penyertaan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.


“Yuran penyertaan RM100 bagi setiap pasangan dan mereka bebas menyanyikan lagu daripada pelbagai bahasa dan genre,” katanya dan menambah pertandingan ini diadili oleh juri-juri professional.


Sementara itu Pemilik Mile 7 Restoran & Café Justinus Asong berkata, pertandingan itu adalah platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang nyanyian.


“Bidang nyanyian juga boleh dijadikan sebagai kerjaya, jika digunakan dengan betul. Namun untuk menjadi seorang penyanyi yang baik, vokal yang bagus sahaja tidak mencukupi, sebaliknya harus mempunyai keyakinan yang tinggi ketika membuat persembahan.


“Banyak pertandingan nyanyian dijalankan pada masa kini yang lebih kepada pertandingan berkonsepkan media sosial. Pertandingan nyanyian di media sosial dan di pentas adalah dua perkara berbeza.


“Suasana juga lain, keadaan sekeliling juga tidak sama ketika menyanyi seorang diri dan di atas pentas. Bukan semua orang mampu berdiri di atas pentas dan menghiburkan ramai orang,” katanya.


Saringan pertama pertandingan itu dimulakan pada 20 Ogos lalu dan saringan kelima dan terakhir ialah pada 17 September lalu.


“Pertandingan separuh akhir akan diadakan pada 24 September ini dan pertandingan akhir pada 1 Oktober,” katanya.


Justinus berkata, juara pertandingan akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1400, piala dan sijil penyertaan.


Dua kategori tambahan akan dipertandingkan iaitu pasangan vokal terbaik dan persembahan duet terbaik. Pemenang setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM200, piala dan sijil.


Maklumat lanjut hubungi Pengerusi Penganjur Justinus Asong (019-8585647) atau Timbalan Pengerusi Penganjur Polly Gipar (012-8260670)

Comentários


bottom of page