top of page

Pertemuan antara Zahid, Hajiji cerminan kematangan politik - Anwar

  • nabalunews
  • Aug 19, 2025
  • 1 min read

19 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuan beliau dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor sebagai cerminan kematangan politik.


Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung semalam dalam suasana harmoni itu juga mencerminkan iltizam memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Putrajaya dan Sabah.


Katanya, kestabilan politik menjadi asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.


“Justeru, kerjasama erat antara pemimpin negeri dan persekutuan amat penting dalam memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh dan inklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


"Saya berharap semangat muafakat ini akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua," katanya pada hantaran di media sosial.


Pertemuan itu menarik perhatian dalam konteks pembentukan kerjasama menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.


Julai lalu, Hajiji mengumumkan GRS serta PH telah bersetuju membentuk pakatan untuk PRN itu.


Dalam lawatan ke Sabah awal bulan ini, Anwar yang juga pengerusi PH, dilaporkan berkata perbincangan sedang berlangsung antara BN, GRS dan PH bagi mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN Sabah.


Hubungan antara BN dan GRS mula retak selepas BN Sabah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Hajiji pada 2023.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page