top of page
  • Wartawan Nabalu News

PERUBAHAN STATUS SABAH DARI PKPP KE PKPB, SEKATAN RENTAS ZON KEKAL


Datuk Masidi Manjun

27 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengekalkan sekatan rentas Zon seperti yang ada sekarang, walaupun status Sabah berubah dari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Zon 1 melibatkan daerah Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar; Zon 2 merangkumi Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang manakala Zon 3 meliputi Kudat, Kota Marudu dan Pitas.


Zon 4 pula melibatkan Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon 5 merangkumi Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan manakala Zon 6 meliputi Keningau, Tambunan dan Tenom.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kerajaan Negeri juga memutuskan untuk mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ada sekarang bagi mempercepatkan usaha memulih sektor ekonomi.


“Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan SOP sedia ada bagi mempercepatkan usaha memulih sektor ekonomi sejauh mana tidak menghalang usaha membenteras penularan virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytiharkan PKPB di beberapa buah negeri termasuk Sabah.


“Status PKPB bagi Negeri Sabah akan berkuat kuasa mulai 29 April 2021 sehingga 17 Mei 2021,” katanya.

Comments


bottom of page