top of page
  • Wartawan Nabalu News

Peruntukan di kawasan pembangkang disalur melalui UPPM



21 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Peruntukan di kawasan pembangkang disalurkan oleh kerajaan negeri kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan Adun Pembangkang.


Pembantu Menteri Kewangan Jasni Daya berkata, setakat Jun 2022 sebanyak RM12,413,000 permohonan peruntukan telah diluluskan oleh Ketua Menteri dari UPPM kawasan pembangkang melibatkan sebanyak 354 projek kecil.


“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11,173,000 telah dan dalam proses penyaluran kepada Pejabat di mana UPPM berkenaan berada, manakala jumlah yang selebihnya masih dalam proses mendapatkan maklumat lengkap dari pejabat yang terlibat.


“Bagi melicinkan dan mempercepatkan proses penyaluran peruntukan khas ini oleh pihak Kementerian Kewangan, diharap pihak UPPM yang terlibat dapat mengemukakan permohonan melalui Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alias Sani (Sekong) yang bertanya berapakah jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri kepada UPPM di kawasan-kawasan ADUN Pembangkang dan apakah ianya sudah diagihkan.


Jasni berkata, peruntukan daripada Kerajaan Negeri kepada UPPM di kawasan ADUN pembangkang adalah di bawah Peruntukan Khas dan diurus oleh Kementerian Kewangan.


Beliau berkata, permohonan bagi mendapatkan peruntukan itu perlu dikemukakan kepada Ketua Menteri.


“Ini bermaksud peruntukan hanya akan disalurkan ke Pejabat yang berkenaan sekiranya ada kelulusan daripada Ketua Menteri dan ianya tertakluk kepada prosedur kewangan sedia ada,” katanya.

bottom of page