top of page
  • Wartawan Nabalu News

Peruntukan pembangunan: Sabah terima RM6.5 bilion, Sarawak terima RM5.6 bilion - PM

24 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.


Beliau berkata, peruntukan tersebut termasuklah perancangan untuk membangunkan bandar-bandar bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan, Sabah serta Ba'kelalan, Sarawak dengan kos RM1 bilion sebagai langkah menyambung perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.


“Lebih RM2.5 bilion juga disediakan bagi melaksanakan projek-projek melibatkan prasarana awam melibatkan projek jalan, lampu jalan, bekalan air dan elektrik.


“Kerajaan juga komited untuk meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan RM20 bilion dengan jajaran lebih 1,000 kilometer,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023, di Dewan Rakyat, hari ini.


Dalam pada itu, Anwar berkata bagi memudahkan urusan rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak, Kerajaan juga akan memperbanyak kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.


"Saya juga sebelum ini telah mengumumkan tekad dan ikrar Kerajaan untuk menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak sehingga RM50 juta bagi mempercepat pelaksanaan projek," katanya.


Pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan interim untuk pemberian khas tertakluk kepada rundingan bagi formula baharu.


Pentadbiran ini komited menambah baik kadar Pemberian Khas daripada yang telah dipersetujui sebelum ini dan akan menyegerakan rundingan untuk formula baharu bagi Sabah dan Sarawak.

Comments


bottom of page