top of page
nabalunews

Pesara Kerajaan Sabah Terima Bonus RM1,000 - Hajiji




27 November 2024


KOTA KINABALU: Kira-kira 13,000 pesara kerajaan Sabah akan menerima bonus sebanyak RM1,000 yang dibayar sebelum Aidilfitri tahun depan, bagi menghargai jasa serta khidmat bakti mereka selama ini kepada negeri Sabah kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


Beliau berkata kerajaan negeri mengambil keputusan berkenaan selepas mendengar pemintaan daripada pesara.


“Dalam pembentangan belanjawan (negeri) yang lepas, hanya penjawat awam yang mendapat bonus. Saya rasa tidak adil untuk tidak memberi bonus kepada pesara kerajaan negeri yang telah berkhidmat bakti kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di sini hari ini.


Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 pada 15 Nov mengumumkan bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji dengan bayaran minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam Sabah.


Sementara itu, Hajiji mahu KOPEKS terus merancang perniagaan baharu atau mempelbagaikan lagi perniagaan koperasi khususnya dalam era mencabar masa kini serta memastikan pengurusan yang cekap, komited dan berintegriti.


Beliau berkata pelan strategi perniagaan dirancang KOPEKS bagi 2024-2026 meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan termasuk membangunkan dua bidang tanah di Menggatal dan Lahad Datu untuk perumahan yang boleh dibeli oleh ahli koperasi itu serta orang ramai.


Hajiji berkata KOPEKS yang kini sudah mencapai usia 61 tahun dan sebagai koperasi tertua di negeri ini perlu terus kekal relevan dan menjadi pilihan kepada penjawat awam, malah pernah mencapai hingga 20,000 ahli dalam era akhir 70-an dan 80-an.


“Ini merupakan sejarah besar KOPEKS, walaupun bilangan ahli aktif ketika itu hanya 5,898 orang, saya percaya ia akan menjadi sumber kekuatan kepada KOPEKS,” katanya yang turut melahirkan rasa gembira kerana hampir 90 peratus ahli menikmati pelbagai kemudahan disediakan oleh koperasi berkenaan.


Beliau berkata KOPEKS turut melaksanakan program lain seperti pembiayaan kredit, pembiayaan menunaikan umrah, program pelancongan anggota, tabung khairat bagi ahli yang meninggal dunia, insentif pendidikan, sumbangan kepada asnaf dan anak yatim.

Comments


bottom of page