top of page
  • nabalunews

PETANI DIGESA MANFAAT AMALAN PERTANIAN BAIK



18 Feb 2021


MEMBAKUT: Golongan petani di negeri ini digesa memanfaatkan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) untuk menjana kualiti pertanian dan alam sekitar.


Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, skim yang disediakan oleh Jabatan Pertanian itu berjaya meletakkan petani Sabah antara yang paling ramai dalam senarai pensijilan myGAP di Malaysia.


“MyGAP adalah penjenamaan semula bagi Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) sejak tahun 2002.

“Pada tahun lalu, Sabah berjaya mendapat 20 pensijilan myGAP dan tujuh daripadanya merupakan petani atau peserta dari Beaufort.


“Namun paling membanggakan, tahun ini, daripada 50 penerima sijil di Sabah, 17 penerima adalah petani di daerah ini,.


“Oleh itu, harapan saya terhadap seluruh masyarakat petani di negeri ini agar memberi perhatian terhadap piawaian kualiti termasuk kualiti tanaman, alam sekitar dan kualiti petani itu sendiri.


“Piawaian yang tinggi ini dapat menjamin keselamatan makanan yang kita makan, keselamatan petani itu sendiri dan juga keselamatan alam sekitar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Papan Tanda MyGAP kepada pengusaha tanaman padi yang mendapat pengiktirafan Pertanian Malaysia di sini, hari ini.


Antara yang hadir mengiringi beliau, Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Iman Basirun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Datuk Saifulzaman Sangul, Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jamaluddin Lani, Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Ramlan Awang Ali.


Kommentare


bottom of page