Marryan Razan
Petani tertekan harga baja dan racun naik 100 peratus
3 Disember 2021
Oleh Marryan Razan
KUNDASANG: Kenaikan harga baja dan racun memberi tekanan kepada para petani kecil-kecilan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Meraka mendakwa walaupun menerima bantuan baja dan racun daripada kerajaan namun ia tidak mencukupi terutamanya bagi petani yang mempunyai kawasan tanaman yang luas sehingga 10 ekar.
Sehubungan itu para petani termasuk pengusaha nanas mencadangkan agar kerajaan memberikan subsidi atau bantuan baja dan racun dua kali setahun untuk meringankan bebanan mereka ekoran kenaikan harga keperluan pertanian itu.
Berdasarkan tinjauan Nabalu News di beberapa daerah termasuk Papar, Tuaran, Tamparuli, Kundasang, Ranau, Kota Marudu dan Telupid, harga baja dan racun tidak seragam.
Susana Sungkit dari Kg.Hamad Tamparuli berkata, bagi penduduk kampung kenaikan harga sayur-sayuran tidak begitu menjejaskan kerana mereka mempunyai tanaman sendiri tetapi kenaikan baja dan racun amat membebankan.
“Sekiranya harga racun naik sikit-sikit masih boleh diterima tetapi harga yang melampau tidak dapat diterima.
“Dalam satu tahun sahaja harga racun naik sebanyak enam kali iaitu daripada RM190 (20 liter), kemudiannya naik RM220, RM230, RM250, RM270 dan terbaru naik mendadak sehingga RM380. Sebagai petani yang tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan, kami tidak mampu membelinya tetapi terpaksa membelinya sebab ia keperluan utama pertanian.
“Oleh itu, saya berharap pihak kerajaan dapat membantu kami untuk menaikkan harga getah selaras dengan peningkatan harga baja dan racun serta keperluan-keperluan lain,” katanya kepada Nabalu News.
Sementara itu pengusaha nanas tanah tinggi, Arina Galu dari Kampung Tomis Jaya berkata, bantuan baja dan racun yang diberikan kerajaan baru-baru ini kepada para petani tidak mencukupi.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana setiap tahun memberikan bantuan baja dan racun kepada para petani tetapi ia tidak mencukupi sebab empat liter racun rumpai hanya cukup untuk satu ekar sahaja,” katanya yang mengusahakan tanaman nanas seluas empat ekar.
Sehubungan itu Arina berharap kerajaan dapat memberikan subisidi pembelian baja dan racun kepada para petani kecil-kecilan untuk meringankan bebanan mereka.
Sementara itu Oliver Dominik dari Kg.Tomis Jaya berharap kerajaan serius membantu para petani kecil-kecilan dan pekebun getah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan kenaikan harga keperluan pertanian.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa kerajaan memperuntukkan bantuan berjumlah RM262 juta sebagai respons awal membantu peladang yang terjejas susulan kenaikan harga baja dan racun.
“Saya berharap pengumuman itu bukan sekadar ‘penghibur hati’ para petani tetapi benar-benar dilaksanakan dan sampai kepada sasaran.
“Kadang-kadang banyak bantuan yang diumumkan oleh kerajaan tetapi ia tidak menyeluruh, ada yang dapat dan ada yang tidak dapat. Keadaan seperti inilah yang menyebabkan rakyat kecewa terhadap kerajaan,” katanya.
Oliver juga berharap agar kerajaan khususnya kementerian berkenaan dapat mengambil tindakan segera mengawal kenaikan harga baja dan racun dipasaran.
“Kebanyakan petani tidak dapat menjual atau memasarkan hasil tanaman sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dan mereka tiada pendapatan …sebab itu kenaikan mendadak harga racun dan baja memberi tekanan kepada mereka terutamanya para petani yang baru memulakan tanaman baru.
“Sepanjang PKP, kami mengalami banyak kerugian kerana hasil tanaman tidak dapat dijual,” katanya yang mengusaha nanas, cendawan shitake dan pelbagai jenis sayuran lain.
Seorang lagi petani dari Tamparuli Josephine Sibin mengeluh harga racun dan baja melambung tinggi.
“Ada banyak jenis racun rumpai, ada yang dulu harganya RM45 kini naik hampir dua kali ganda. Kalau naik sedikit tidak apa tapi kenaikannya antara 45 hingga 50 peratus amat membebankan kami.
“Kami petani kecil-kecilan tiada pendapatan tetap setiap bulan, hasil tanaman sepanjang PKP sebelum ini pun tidak dapat dijual, kini harga racun rumpai pula melambung tinggi,” katanya.
Josephine yang menjual hasil tanam-tanamannya di Tamu Tamparuli setiap hari Selesa berharap kerajaan dapat mengawal harga barangan yang semakin hari semakin meningkat.
“Bukan harga baja dan racun saja meningkat tetapi banyak barang-barang lain termasuk bahan binaan dan keperluan makanan pun meningkat,” katanya.
Para petani bukan saja mengusahakan tanaman nenas, getah dan padi tetapi mereka juga mengusahakan sayur-sayuran tanah tinggi dan pelbagai jenis tanaman jangka panjang.
Dalam laporan media kelmarin (2 Disember) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, lebih 632,000 petani dan pesawah terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran sekali gus mengurangkan pendapatan petani.
Beliau dipetik sebagai berkata, semenjak pandemik melanda negara, harga baja didapati meningkat hampir 30 peratus manakala harga racun pula meningkat hampir 100 peratus.
Comments