top of page

PH akan bertemu PM bincang RUU Anti Lompat Parti

Farah Salim


14 Jun 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan beberapa perkara lain.


Majlis Presiden PH dalam kenyataan media menyatakan rasa kecewa atas kegagalan kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat khusus untuk membentang Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.


“Walaupun begitu, Pakatan Harapan berharap RUU tersebut akan dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai ini.


“Dengan meluluskan RUU ini, maka 15 dari 18 Perkara dalam Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan akan tercapai, bersamaan dengan 83 peratus,” kata kenyataan media itu, kelmarin.


Majlis Presiden PH berkata, tiga Perkara MOU yang masih perlu dilaksana adalah menetapkan had 2 penggal atau 10 tahun bagi Perdana Menteri; membentang RUU Perkhidmatan Parlimen dan meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.


“Oleh itu, pimpinan utama Pakatan Harapan akan mengadakan pertemuan segera dengan Perdana Menteri bagi membincang RUU Anti Lompat Parti serta Perkara-Perkara di atas,” kata kenyataan itu.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hj Mohamad Sabu, Seriausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page