top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH akan perjuangkan hak tanah di Beluran



17 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


BELURAN: Calon Pakatan Harapan (PH) Beluran, Felix Joseph Saang, akan fokus, komited serta ikhlas dalam memperjuangkan pembelaan hak tanah warga Beluran, sekiranya beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Beliau berkata pembelaan tanah merupakan isu kritikal di Beluran dan ia amat dekat dihati rakyat Beluran.


Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu bercadang untuk melaksanakan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) tahunan di Beluran dan Telupid, serta mukim Paitan (Sugut) dengan menggandakan peruntukan yang relevan agar isu-isu tanah dapat diselesaikan dengan cekap, pantas dan sistematik.


Ini juga dapat memastikan agar orang asal di kawasan Parlimen Beluran yang layak akan mendapat geran tanah mereka.


“Kami juga bercadang untuk menubuhkan Tribunal Tanah di Beluran bagi menangani pertikaian-pertikaian berhubung Hak Tanah Adat di kawasan Parlimen Beluran,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.


Bagaimanapun, Felix yang juga Ketua Pemuda UPKO Malaysia sedar bahawa perkara ini bukannya mudah dan ia tidak akan dapat diselesaikan dalam sekelip mata.


“Kami tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang tetapi jika diberi mandat, yakinlah bahawa kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk menaiktaraf kehidupan penduduk Sugut, Telupid dan Beluran.


“Justeru, saya menggesa pengundi supaya tidak takut akan perubahan. Masanya telah tiba untuk kita melakukan perubahan. Beluran sudah terlalu lama tercicir dan diketepikan,” katanya.


Hak pemilikan tanah adalah salah satu daripada 12 tonggak manifesto Felix untuk Parlimen Beluran pada PRU15.


Dalam manifestonya, Felix juga mengemukakan tawaran serta aspirasi beliau untuk menaiktaraf kemudahan masyarakat di Parlimen Beluran.


Ini termasuk membina Dewan Masyarakat di Telupid dan Paitan; menyempurna kemudahan astaka Kompleks Sukan Beluran; menaik taraf Jeti dan Pasar; membina balai bomba di Telupid; menambah baik kemudahan dan prasarana sukan di daerah Telupid dan daerah kecil Paitan, Sugut; dan menempatkan pejabat perhubungan agensi persekutuan penting di Paitan (Sugut).


“Pakatan Harapan Beluran juga telah meletakkan pemerkasaan kemudahan pendidikan sebagai salah satu teras utama manifestonya. Harapan percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk melatih generasi pelapis bagi menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin di masa hadapan.


“Ini termasuk kajian semula cadangan penubuhan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Paitan; dan pelan baik pulih sekolah sekolah daif, kemudahan asrama pelajar serta rumah guru,” tambah Felix.


Sembilan lagi tonggak manifesto Felix adalah untuk menyelesaikan dan merawat masalah sumber air bersih dan elektrik serta liputan internet di daerah Sugut, Telupid dan Beluran; menaik taraf infrastruktur jalan raya; menaik taraf kemudahan kesihatan; memperkasakan majlis pengurusan komuniti kampung.


Memastikan warga Beluran yang berkelayakan berpeluang menjawat jawatan penting di agensi agensi kerajaan dan persekutuan; memperkasakan institusi keluarga dan sosio-ekonomi wanita; memperkasakan pertumbuhan belia; memacu pertumbuhan sosio-ekonomi, industri perikanan, pelancongan, dan pertanian dan menubuhkan pelbagai jawatankuasa peringkat parlimen yang berkenaan di Parlimen Beluran.


Kerusi Parlimen Beluran akan menyaksikan pertarungan lima penjuru antara Felix, penyandang Datuk Dr Ronald Kiandee (Perikatan Nasional-Bersatu), Benedict Asmat (Barisan Nasional-UMNO), Rowiena Rasid (Warisan) dan Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang).


Comments


bottom of page