PH mahu SOP kempen PRN Johor ditambahbaik
25 Januari 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) berpendirian bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen pilihan raya negeri Johor ke-15.
Majlis Presiden PH berkata, ini bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.
“Memandangkan wabak Covid-19 di Malaysia sudah semakin bersifat endemik dengan jumlah kes positif Covid-19 serta jumlah kemasukan ke hospital yang agak stabil dan jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus, Pakatan Harapan berpendirian SPR perlu memperbetul SOP bagi kempen PRU Johor ke-15,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurut PH, penambahbaikan itu termasuk membenarkan ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak rumah ke rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP.
Selain itu katanya, akses media juga perlu diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa (air time) dan ruangan cetak (akhbar, media online);
“SPR digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, UK, US, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik; dan tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari,” kata kenyataan itu.
Majlis Presiden bertekad merangkul seluruh kekuatan Pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRU Johor ke-15 bukan sahaja demi memenangi semula mandat rakyat yang diperolehi pada PRU-14 lalu, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah Kerajaan Negeri yang lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik.
Katanya lagi, PH telah membuat keputusan untuk bertanding dalam PRU Johor.
“Isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti Pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Comentários