PH Sabah mesti diwakili dalam Kabinet Persekutuan untuk laksana tawaran ‘Kita Boleh’ - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PH Sabah mesti diwakili dalam Kabinet Persekutuan untuk laksana tawaran ‘Kita Boleh’ - Ewon

Ewon ketika ditemui pemberita di Dewan Undangan Negeri, selepas pembentangan Bajet Negeri 2023.

25 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang dan bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan harapan agar Pakatan Harapan (PH) Sabah diwakili dalam Kabinet Persekutuan supaya menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan melaksanakan tawaran-tawaran ‘Kita Boleh’ PH untuk rakyat Sabah.


“Kita menyokong penuh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi PH. Untuk ini, saya berharap PH Sabah akan diwakili dalam Kabinet Persekutuan agar kita dapat memastikan pelaksanaan tawaran-tawaran khas PH kepada rakyat Sabah seperti yang kita kempenkan dalam pilihanraya ini.


“Bagi pihak parti UPKO pula, kita sudah memaklumkan pucuk pimpinan mengenai syor daripada parti mengenai penglibatan dalam kerajaan persekutuan ini. Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri mengenai perkara ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan Sabah 2023 oleh Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Ketika ditanya mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri samada daripada Sabah atau Sarawak, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Perdana Menteri mempunyai pertimbangan berdasarkan kepada kekuatan Ahli Parlimen terutamanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 23 Ahli Parlimen.


“Pada saya, yang penting adalah bagaimana tawaran-tawaran PH kepada rakyat Sabah itu dapat dilaksanakan terutamanya mengenai hak 40% Sabah. Sudah tentu kita mahu Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Sabah tetapi kita maklum dengan kekuatan GPS dalam Kerajaan Perpaduan maka itu tidak menjadi isu. Apa yang penting ialah hak Sabah dapat dilaksanakan.


“Ini perjuangan utama saya sebagai salah seorang Presiden parti komponen PH iaitu memastikan apa yang sepatutnya milik Sabah dapat diberikan kepada rakyat Sabah,” katanya.


Enam perkara khas itu dituntut oleh para pemimpin UPKO dan dimasukkan dalam Tawaran Harapan PRU15 “Kita Boleh” dan dipersetujui oleh semua pemimpin PH.


Enam perkara khas itu ialah, membela nasib orang asal Sabah; merapatkan jurang pembangunan Wilayah Sabah dan wilayah-wilayah lain; memperkasakan wilayah Sabah menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); desentralisasi kuasa kepada Wilayah Sabah; menyelesaikan pelbagai isu kebanjiran warga asing di Sabah dan mencipta peluang pekerjaan dan menarik pelaburan di Sabah.

bottom of page