top of page

PH SARAN KERAJAAN AMBIL LANGKAH BERANI BANTU RINGANKAN BEBAN RAKYAT

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 1, 2021
  • 2 min read


1 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) menyarankan kerajaan supaya mengambil beberapa langkah berani untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat di semua peringkat.


Demikian dinyatakan dalam kenyataan bersama Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang, KEADILAN), Datuk Hj Hasanuddin Mohd Yunus (Ahli Parlimen Hulu Langat, AMANAH), Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin, DAP), Natrah Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN), Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli Parlimen Batu Gajah, DAP), Norhayati Bachok (Ahli Dewan Undangan Negeri Maharani, AMANAH), Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu, DAP), Asmirul Anuar Aris (Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, AMANAH) dan Cha Kee Chin (Ahli Parlimen Rasah, DAP).


“Jawatankuasa berkenaan telah mengadakan perbincangan khas berkenaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang telah diumumkan Perdana Menteri pada 28 Jun yang lalu di mana pada pandangan kami, kerajaan boleh mengambil langkah yang lebih berani untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat di semua peringkat,” katanya.


Menurut kenyataan itu, mereka menyokong cadangan yang dikemukakan Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa bantuan bulanan perlu diberikan kepada golongan B60 berjumlah RM1,500 sebulan untuk setiap keluarga sepanjang tempoh lockdown ini.


“Jawatankuasa ini mencadangkan agar peruntukan tambahan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap isi rumah daripada golongan M20 sepanjang tempoh lockdown ini berjalan.


“Mengenai Bantuan Bakul Makanan, kami mewakili ahli-ahli parlimen pembangkang menyambut baik bantuan bakul makanan yang dinaikkan jumlah pemberiannya daripada RM100,000 kepada RM300,000 bagi setiap kawasan parlimen termasuk dalam kalangan kawasan parlimen pembangkang.


“Kami menyarankan agar pihak kerajaan dapat menyalurkan peruntukan ini serta merta kepada semua ahli-ahli parlimen untuk mengelakkan peristiwa terdahulu berulang kembali,” katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, demi mengangkat hak demokrasi rakyat yang telah memilih dan semangat federalisme, jawatankuasa itu menyeru semua kerajaan negeri untuk melakukan perkara yang sama dengan memberikan peruntukkan kepada semua wakil rakyat secara adil dan saksama demi mengharungi pandemik Covid-19.


“Mengenai moratorium pula, jawatankuasa ini menyokong sepenuhnya langkah pihak kerajaan dalam memberikan moratorium secara automatik tanpa faedah yang jelas kepada semua golongan.


“Kementerian kewangan dan institusi perbankan perlu sedar bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang mesti dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat jelata,” katanya.




Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page