top of page

Pimpinan Keadilan Sabah Serah Memorandum Kepada Pas Berhubung Tohmahan Terhadap Kerajaan Madani

  • nabalunews
  • Jul 26, 2025
  • 2 min read

26 Julai 2025


KOTA KINABALU: Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Peto Galim, hadir ke Pejabat Badan Perhubungan PAS Sabah bagi menyerahkan satu memorandum.


Ia bagi memberi jawapan balas terhadap pelbagai tohmahan dan kenyataan tidak berasas yang dibuat oleh pimpinan Perikatan Nasional, termasuk Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan.


Dalam kenyataan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah berkata, memorandum berkenaan merupakan penjelasan bersandarkan fakta bagi menyangkal dakwaan-dakwaan tidak berasas berkaitan pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Katanya, antaranya isu reformasi institusi, pemansuhan subsidi, pelaksanaan SST, dan dakwaan kononnya berlaku campur tangan dalam institusi kehakiman.


“Walau bagaimanapun, penyerahan memorandum tidak dapat disempurnakan kerana dimaklumkan bahawa Datuk Dr. Aliakbar berada di Kuala Lumpur.


“Pihak PAS Sabah juga memaklumkan bahawa pejabat mereka ditutup dan tiada staf bertugas pada waktu yang dijadualkan,” katanya.


Walau bagaimanapun katanya, Dr. Aliakbar menyatakan kesediaan untuk menerima memorandum itu pada hari Isnin depan.


“Sebagai tanda solidariti dan ketegasan, delegasi KEADILAN Sabah yang terdiri daripada pimpinan cabang, Wanita, dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) seramai 70 orang mengadakan flash mob selama 15 minit di hadapan pejabat PAS Sabah.


“Tindakan itu sebagai mesej jelas menuntut agar PAS menghentikan penyebaran maklumat palsu dan tidak bertanggungjawab,”katanya.


Sementara itu, pada sidang media ringkas, Peto berkata, beliau menyangkal sekeras-kerasnya ucapan Dr. Aliakbar di himpunan ‘Turun Anwar’ di Kuala Lumpur baru-baru ini yang mendakwa kononnya rakyat Sabah menolak kepimpinan Perdana Menteri.


Katanya, tuduhan yang dilempar itu tidak berasas dan tidak mencerminkan sentimen sebenar rakyat Sabah.


“Kita mahu pemimpin di Sabah ini adalah pemimpin yang ada tanggungjawab kepada setiap kata-kata yang diucap. Jangan sesekali memutar belit fakta untuk tujuan politik sempit.


“KEADILAN Sabah menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan dasar-dasar Kerajaan Perpaduan dan menyampaikan kebenaran berasaskan fakta kepada rakyat, menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page