top of page
Wartawan Nabalu News

Pinda perlembagaan negeri untuk kembalikan penggunaan Yang di-Pertua Negara - Norazlinah


7 December 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak Norazlinah Arif menggesa kerajaan negeri membuat usul untuk meminda perkara 1 (1) Perlembagaan Sabah iaitu mengembalikan penggunaan Yang di-Pertua Negara menggantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah.


“Saya mohon Kerajaan hari ini membuat usul untuk meminda perkara 1(1) Perlembagaan Sabah kepada asalnya seperti yang sepatutnya. Ini hak kita. Ini martabat kita, yang dirampas, kita boleh ambil balik kerana meminda perkara 1(1) Perlembagaan Sabah boleh dibuat diperingkat Negeri oleh semua YB di sini (Dewan).


“Sejujurnya kita semua tidak boleh menafikan bahawa hanya dengan menuntut hak kita, kita mampu menyelesaikan banyak masalah Sabah terutama kemiskinan dan keperluan asas yang sering dianaktirikan dalam keluarga Malaysia,” ujarnya ketika perbahasan pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Beliau menjelaskan bahawa, tahun 1976 adalah tahun malang kerana selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan 1976, negara Sabah menjadi sebahagian daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu.


“Pada tahun yang sama, kita sendiri jatuhkan taraf Negara kita kepada Negeri dan Dewan Undangan Negeri Sabah ini telah meminda Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah yang pada mulanya disebut, “There shall be a Head of State for Sabah, to be called the Yang di-Pertua Negara".


“Yang di-Pertua Negara kita menjadi yang di-Pertua Negeri setelah dewan ini pinda perkara 1(1). Kita gagal mempertahankan martabat dan kedaulatan Negara kita.


“Kerajaan Persekutuan telah menjatuhkan status negara kita kepada negeri dan kita pula menconteng arang ke muka yang di-Pertua Negara dengan menurunkan darjatnya,” katanya.

Comments


bottom of page