PKCS sampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kg Tanjung Aru Baru

12 Disember 2024
KOTA KINABALU: Kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru di sini baru-baru ini telah memusnahkan tujuh buah rumah dan menjejaskan 15 keluarga, menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
Prihatin dengan bebanan dialami mangsa kebakaran itu, Persatuan Keusahawanan Cekap Sabah (PKCS) tampil menyampaikan bantuan bakul makanan dan keperluan asas lain kepada keluarga yang terkesan dengan musibah itu.
Bantuan kepada mangsa diserahkan oleh Pengerusi PKCS, Dennison R Indang yang mewakili persatuan dalam program ini.
“Kami amat berterima kasih kepada pasukan yang diketuai oleh saudara Panil Jibul atas dedikasi dan sumbangan masa serta tenaga dalam menjayakan acara ini. Tanpa usaha gigih mereka, kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai,” kata beliau.
PKCS turut merakamkan penghargaan kepada para penyumbang yang telah memberikan sokongan besar kepada usaha ini, termasuk Pejabat Parlimen Penampang, Kojasa Holdings Berhad yang diwakili oleh ketua pegawai eksekutif, Sim Fui, Mega Bundles Megalong, Naib Presiden UPKO Datuk Gilbert Syam, Suhaimie Taraji, Michael Lew, Louis Tan, Ricky Emon dan para ahli PKCS.
Dennison juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada krew RTM yang hadir membuat liputan media.
“Kami berharap liputan ini dapat mengetengahkan keperluan mangsa kebakaran dan menggalakkan lebih ramai pihak tampil menyumbang untuk membantu mereka yang memerlukan,” tambah beliau.
PKCS menyeru masyarakat dan organisasi lain untuk terus memberikan sokongan kepada mangsa kebakaran ini, agar mereka dapat kembali membina kehidupan mereka dengan lebih baik.
"Semoga setiap sumbangan yang diberikan diberkati Tuhan dan membawa manfaat besar kepada komuniti kita," kata Dennison.
Untuk maklumat lanjut mengenai usaha ini atau bagaimana untuk menyumbang, sila hubungi PKCS di 019-8301087.
Comments