PKP DI TAWAU BERMULA ESOK HINGGA 16 APRIL INI
2 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau bermula esok (3 April) sehingga 16 April ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar di lokaliti kes positif serta mengawal pergerakan penduduk di daerah itu dan mengekang penularan jangkitan dalam komuniti.
"Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 137 kes aktif telah dilaporkan yang melibatkan
beberapa kluster di daerah ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau, bermula 3 April sehingga 16 April 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Kilang Sungai Tenegang Kinabatangan akan dikuatkuasakan bermula esok sehingga 16 April ini.
"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, bermula 3 April sehingga 16 April selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes-kes disyaki Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti," katanya.
תגובות