PKPB: LEBIH 25,000 BAKUL MAKANAN DIAGIHKAN DI PARLIMEN PENSIANGAN
- Wartawan Nabalu News
- Dec 14, 2020
- 2 min read

14 DIS 2020
NABAWAN: Lebih 25,000 sumbangan bakul makanan telah diagih-agihkan kepada golongan terjejas di kawasan Parlimen Pensiangan sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup berharap melalui bantuan ini dapat meringankan beban mereka membuat persediaan menyambut Krismas yang tidak lama lagi akan menjelang tiba.
“Program kali ini merupakan program fasa ke-enam yang dijalankan oleh pejabat saya, meliputi seluruh kawasan Parlimen Pensiangan sampai ke Saliliran.

“Program ini akan sentiasa berjalan, sekiranya PKP atau masalah ekonomi masih berpanjangan, saya selaku wakil rakyat parlimen ini akan berusaha untuk mencari bantuan kepada mereka yang mungkin belum terima sebelum ini.
“Tetapi pada masa yang sama, kementerian berkenaan akan memainkan peranan untuk meyalurkan bantuan-bantuan kepada rakyat,” katanya.
Pada program itu sebanyak 1,200 bakul makanan diserahkan kepada wakil-wakil kampung di daerah ini melalui program Sentuhan Kasih anjuran Ahli Parlimen Pensiangan di dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Nabawan pada Sabtu

Menurut Arthur bantuan tersebut merupakan inisiatif beliau selaku Ahli Parlimen untuk meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Program Sentuhan Kasih ini dianjurkan oleh pejabat Ahli Parlimen Pensiangan atas keprihatinan kami kepada rakyat di kawasan ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kita sedar dalam waktu PKPB dan wabak Covid-19 ini ada ramai orang yang terjejas dari segi ekonomi dan pendapatan dan kami telah kenal pasti golongan sasaran tersebut.
“Kita juga berharap melalui bantuan ini dapat meringankan beban mereka dan menyenangkan hati mereka membuat persediaan untuk menyambut Krismas yang akan datang,”ujarnya.

Sementara itu wakil penduduk Kampung Lotong, Tamu Aningkai, 48 melahirkan penghargaan kepada Artur atas usaha berkenaan.
“Kami menerima 11 bakul makanan untuk diagihkan kepada penduduk kampung yang belum menerima sebarang bantuan daripada pihak kerajaan.
“Barang keperluan seperti beras, minyak masak, mee kering sekurang-kurang dapat membantu meringankan perbelanjaan dapur mereka yang menerima,” katanya.
Wakil Kampung Murni, Justin @ Juliman Lambirong, 40, juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Artur atas sumbangan 66 bakul makanan kepada enam kampung di kawasan Nabawan.

“Enam kampung tersebut adalah Kampung Murni, Kampung Murni A, Kampung Murni B, Kampung Murni C, Kampung Murni D dan Kampung Ranau-Ranau.
“Agihan bakul makanan ini akan diberi keutamaan kepada mereka yang betul-betul memerlukan dan yang belum berdaftar dengan e-Kasih,” katanya.
Pada Sabtu, sebanyak 2,600 bakul makan telah diagihkan kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Transpagalan, Tulid; Sook dan Nabawan. - AZ















Comments