PKPB SELURUH SABAH BERKUATKUASA 13 OKT HINGGA 26 OKT
- Wartawan Nabalu News
- Oct 12, 2020
- 2 min read
Updated: Feb 3, 2021

12 OKTOBER 2020
OLEH WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh Sabah berkuatkuasa 12.01 tengah malam ini (13 Oktober) hingga 26 Oktober ini.
Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB seluruh Sabah itu dipersetujui melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), selepas mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes-kes positif di Sabah.
Beliau berkata, sebelum ini beberapa daerah di Sabah telahpun dilaksanakan PKPB iaitu di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan serta beberapa lokaliti lagi telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Selain itu, Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah juga dikuatkuasakan sejak 3 Oktober lalu. Rentas daerah dibenarkan kepada kakitangan kerajaan.
“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di seluruh Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober ini,” katanya pada sidang media secara maya menerusi laman Facebook Kementerian Pertahanan, pada Isnin.
Ismail Sabri, antara aktiviti yang dilarang adalah pergerakan keluar masuk atau merentas daerah. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
“Hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar membeli barangan keperluan.
“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi serta masjid, surau serta rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup.
“Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan serta pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhui SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh MKN.
“Pasar Borang, Pasar harian dibenarkan beroperasi bermula 6.00 pagi hingga 2.00 petang, kedai barang keperluan dan kedai runcit, restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, kedai runcit dan serbaneka dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang. Bagaimanapun terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away.
“Begitu juga dengan operasi stesen minyak, farmasi dan kedai ubat-ubatan dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang.
“Perkhidmatan teksi/ e-hailing dan penghantaran makanan juga dibenarkan dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam, bagaimanapun bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.
“Operasi klinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam, sektor perikanan, perladangan, pertanian juga dibenarkan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, bagi sektor perniagaan dan perkilangan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ingin beroperasi, mereka boleh memohon daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
Comments