PKPB: TAMAN AWAM DIBUKA, AKTIVITI SUKAN DAN REKREASI DIBENARKAN
- Wartawan Nabalu News
- Feb 23, 2021
- 1 min read

23 Feb 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Taman Awam kini dibenarkan untuk dibuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan ialah tidak bersentuhan fizikal (indoor dan outdoor) dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang dalam satu-satu masa.
"Aktiviti sukan yang dibenarkan ialah berjalan, jogging, berbasikal, senam robik kendiri, hiking, golf, badminton dan tenis (single/double/mixed double) dalam daerah atau kawasan yang sama dengan mematuhi SOP.
"Latihan fizikal yang tidak bersentuhan adalah dibenarkan bagi acara-acara berpasukan seperti bola sepak, hoki dan seumpamanya tetapi terhad kepada maksimum 25 orang dalam satu-satu masa," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, kebenaran beroperasi dan menggunakan fasiliti sukan oleh orang awam adalah terhad bagi aktiviti yang tidak melibatkan sentuhan fizikal dan maksimum 25 orang dalam satu- satu masa.
"Setiap pengusaha dan operator sukan perlu menjadualkan pelaksanaan aktiviti sekiranya terdapat ramai peserta dengan menghadkan jumlah tidak melebihi 25 orang pada satu-satu masa," katanya.
Katanya lagi, aktiviti kolam (terhad kepada latihan renang dan terjun yang tidak bersentuhan), rekreasi laut dan sungai iaitu scuba diving, snorkelling dan memancing adalah dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus.
Beliau berkata, muatan penumpang bagi bot yang membawa individu untuk aktiviti rekreasi laut adalah dihadkan kepada 50 peratus dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Masidi berkata, program latihan berpusat yang sedia ada dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negeri Sabah dibenar beroperasi secara “Quarantine Base Approach” dengan mematuhi SOP yang disediakan.















Comments