PKPD di 10 lokaliti bermula 27 Ogos ini

25 Ogos 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di 10 lokaliti melibatkan daerah Telupid, Penampang, Ranau, Tawau, Kudat dan Papar bermula 27 Ogos hingga 9 September ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, tigaa lokaliti di Telupid ialah Kampung Gading, Kampung Ulu Sapi, dan Ladang Melia, manakala dua lokaliti di Penampang pula melibatkan Beverly Hills Fasa 5 dan Kampung Nambazan.
"Dua lokaliti di Ranau pula ialah Kampung Lohan Ulu dan Kampung Libang, satu lokaliti pula masing-masing di Rancangan Batu 22 Apas di Tawau, Kampung Landung Ayang di Kudat dan Kampung Pengalat Kecil di Papar, " katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, PKPD di lokaliti berkenaan dilaksanakan setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.
"Secara keseluruhan, jumlah PKPD aktif setakat ini telah meningkat kepada 123 lokaliti, dengan bilangan tertinggi di Tawau (34 lokaliti), Kota Kinabalu (20 lokaliti), Tuaran (10 lokaliti), dan Kota Belud (13 lokaliti)," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk melanjutkan PKPD di enam lokaliti di Tuaran iaitu Kampung Betutai, Kampung Bontoi, Kampung Kindu, Kampung Serusop, Taman Sri Rugading dan Taman Telipok serta dua lokaliti di Tawau melibatkan Kampung Bergosong, Pulau Sebatik dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas Batu 8.
“PKPD di dua lokaiti itu yang sepatutnya dijadualkan tamat pada 26 Ogos, namun dilanjutkan sehingga 9 September ini.
“Berdasarkan analisa oleh KKM mengenai risiko serta trend jangkitan Covid-19, PKPD di lokaliti berkenaan dilanjutkan,” katanya
Comments