top of page
Wartawan Nabalu News

PKPD DI BEBERAPA LOKALITI DI PAPAR, KUDAT, SANDAKAN, DAN TELIPOK MULAI 6 JUN



4 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti daerah Papar, Kudat, Sandakan dan Telipok berkuat kuasa 6 Jun sehingga 19 Jun ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin.


Beliau berkata, bagi daerah Papar, KKM hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di tiga lokaliti dalam daerah berkenaan iaitu Kampung Gusi Kinarut, Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni.


“Sehingga kini, sebanyak 15 kes positif direkodkan di Kampung Gusi Kinarut hasil daripada 56 ujian saringan, lapan kes daripada 18 yang disaring di Kampung Tengah Kinarut manakala lima kes lagi di Kampung Benoni selepas 18 penduduk disaring.


“KKM mendapati, berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di ketiga-tiga lokaliti tersebut.


“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti seperti yang dinyatakan berkuat kuasa 06 Jun sehingga 19 Jun selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, bagi daerah Sandakan pula, KKM hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di Lorong Ulu Sibuga 5 & 9, Fasa 7 Taman Mawar.


Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 18 kes positif telah direkodkan selepas KKM melakukan 28 saringan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.


Bagi kawasan Telipok, sehingga kini sebanyak sembilan kes positif telah direkodkan selepas KKM melakukan 12 ujian saringan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di Taman Wangsa, Jalan Telipok.


PKPD Kampung Perpaduan Banggi Kudat juga akan dikuatkuasakan bermula 6 Jun ini.


“Sehingga kini, KKM telah melakukan 38 ujian saringan dan lapan daripadanya disahkan positif COVID-19.


“KKM mendapati berlaku peningkatan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini,” katanya.


Masidi berkata, pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin.

Comments


bottom of page