- Wartawan Nabalu News
PKPD DI ENAM LOKALITI DI SABAH DITAMATKAN: MASIDI
20 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di enam lokaliti melibatkan Nabawan, Kota Belud, Pulau Sebatik, Sandakan dan Kota Marudu.
Lokasi PKPD yang ditamatkan ialah Kampung Murni C Nabawan, Kampung Tamalang dan Kampung Tuguson Kota Belud, Kampung Bergosong Pulau Sebatik, Apartment Taman Permata Sandakan dan Kampung Ongkilan Kota Marudu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, PKPD di Kampung Murni C, Nabawan dijadualkan tamat pada 21 Jun (esok).
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 502 ujian saringan di kawasan ini dan 37 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan kes aktif di lokaliti ini menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir yang direkodkan adalah pada 15 Jun 2021 iaitu empat kes.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Murni C, Nabawan pada 21 Jun (jam 11.59 minit malam) seperti yang dijadualkan selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, PKPD Kampung Tamalang dan Kampung Tuguson Kota Belud juga dijadualkan tamat pada 21 Jun (esok).
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 186 ujian saringan di kedua-dua lokaliti ini dan sebanyak 22 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan kes aktif di lokaliti ini menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala kes terakhir yang direkodkan adalah pada 17 Jun lalu iaitu lima kes,” katanya.
Bagi Kampung Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau pula ia juga dijadualkan tamat pada 21 Jun (esok).
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 50 ujian saringan di lokaliti ini dan sebanyak 12 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan kes aktif di lokaliti ini menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala kesemua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke PKRC dan kontak rapat diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14,” katanya.
Masidi berkata PKPD di Apartment Taman Permata, turut ditamatkan
“Dalam tempoh PKPD, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 742 ujian saringan dan 26 daripadanya disahkan positif Covid-19.
“KKM mendapati terdapat trend penurunan kes dan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan,” katanya.
Bagi PKPD Kampung Ongkilan, Kota Marudu, ia dijadualkan tamat pada 21 Jun (esok).
Katanya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 945 ujian saringan di lokaliti ini dan sebanyak 16 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM juga mengesahkan kes aktif di lokaliti ini menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal manakala kesemua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke PKRC dan kontak rapat diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14.
Comentarios