- Wartawan Nabalu News
PKPD di Kampung Rompon, Tambunan mulai 24 September ini

22 Sept 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Rompon, Tambunan bermula 24 September hingga 7 Oktober ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, PKPD di lokaliti berkenaan dilaksanakan setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.
"Secara keseluruhannya, jumlah PKPD aktif setakat ini ialah sebanyak 25 lokaliti dengan jumlah PKPD aktif yang tertinggi di Ranau dengan lima lokaliti," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, empat lokaliti PKPD melibatkan daerah Ranau, Papar dan Putatan juga akan ditamatkan seperti yang dijadualkan iaitu pada 23 September.
"Lokaliti tersebut ialah Kampung Lohan Ulu di Ranau, Kampung Pengalat Kecil di Papar serta Kampung Ulu dan Kampung Pasir Putih di Papar" katanya.
PKPD ditamatkan di lokaliti berkenaan setelah meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa, kata Masidi.