- Wartawan Nabalu News
PKPD DI KG.PADAWAN PAPAR DAN LAHAD DATU MULAI 31 MEI HINGGA 13 JUN
29 Mei 2021 Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Padawan Papar dan Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti, Mukim Tungku Lahad Datu bermula 31 Mei hingga 13 Jun ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD ini bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke luar lokaliti tersebut.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 238 ujian saringan di Kampung Padawan Papar dan 15 daripadanya didapati positif Covid-19.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Padawan, Papar berkuat kuasa 31 Mei sehingga 13 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, bagi Felda Sahabat 40, (Kampung Kembara Sakti) Mukim Tungku Lahad Datu, sehingga kini, sebanyak 10 kes telah direkodkan oleh KKM setelah menjalani ujian saringan ke atas 28 penduduk di lokaliti tersebut.
Katanya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti itu.
Comments