top of page
  • Writer's pictureJacquline Ebit

PKPD di lima lokaliti melibatkan beberapa daerah bermula 11 September ini



9 September 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti melibatkan beberapa daerah bermula 11 September hingga 24 September ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, antara lokaliti tersebut ialah Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman di Ranau, Taman Sungai Labuk di Beluran, Sekolah Henry Gurney di Keningau dan Kampung Timug, Matunggong di Kudat.


Beliau berkata, PKPD di lokaliti berkenaan dilaksanakan setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.


"Secara keseluruhannya, jumlah PKPD aktif setakat ini telah menurun kepada 46 lokaliti, dengan bilangan tertinggi di Ranau (sembilan lokaliti)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Tambah Masidi, PKPD di tiga lokaliti melibatkan daerah Tawau, Keningau dan Kinabatangan akan dilanjutkan sehingga 24 September ini.


"PKPD di Kampung Sungai Imam di Tawau, Kampung Kapakaan di Keningau dan Kampung Paris 3 di Kinabatangan sepatutnya dijadualkan tamat pada 9 September.


"Namun, berdasarkan analisa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, PKPD di lokaliti tersebut dilanjutkan," katanya.

bottom of page