- Wartawan Nabalu News
PKPD DI LIMA LOKALITI TERMASUK TIGA DI KOTA KINABALU MULAI 12 JULAI

10 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lima lokaliti di Sabah bermula 12 Julai hingga 25 Julai ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kawasan-kawasan itu ialah tiga lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya, OL Farm Membalua Tawau dan Kampung Pikat Bongawan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 78 kes positif Covid-19 dicatatkan di kelima-lima lokaliti itu.
“Daripada jumlah itu, Kampung Suang Parai merekodkan sebanyak 22 kes positif, Taman Kingfisher Sulaman (11 kes) dan Bandaran Berjaya (17 kes). Manakala QL Farm Membalua pula mencatatkan 13 kes dan Kampung Pikat Bongawan sebanyak 15 kes positif,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, PKPD di tiga lokaliti di Kota Kinabalu dilaksanakan kerana berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat di ketiga-tiga lokaliti itu.
PKPD di QL Farm Membalua pula dilaksanakan kerana peningkatan kes dan kadar kebolehjangkitan tinggi di kawasan itu.
“Begitu juga di Kampung Pikat Bongawan, kes meningkat dalam tempoh seminggu,” katanya.